Alena Murang.
Alena Murang.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pemuzik sape, Alena Murang, 32, serta sepupunya Sarah Louis Dorai memenangi dua anugerah pada acara pengiktirafan International Music Awards 2021, di United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Dia membawa pulang trofi untuk kategori Best Asia & Pacific Music Video dan Honourable Mention for Best Costume menerusi video muzik lagu Warrior Spirit.

Alena berkata, kemenangan itu cukup bermakna apatah lagi video itu adalah dedikasi kepada moyangnya yang dikenali sebagai pendekar di negeri asalnya, Sarawak.

"Warrior Spirit adalah gambaran kekuatan dalaman kita. Kita semua berasal daripada keturunan pendekar dan wira.

"Datuk moyang saya, Balang Nganud seorang pendekar hebat. Dia cukup disegani dalam kalangan komuniti.

"Kami mewarisi semangat, keberanian, kekuatan, dan nilai tempurnya dalam mengecap impian yang sangat besar. Saya rasa ramai rakyat Malaysia dan penduduk seluruh dunia ada talian dengan semangat pendekar," katanya.

Wanita keturunan Dayak dan Kelabit itu kini dalam misi memanfaatkan platform muzik serta pembikinan filem untuk memberi kesedaran mengenai warisan Borneo yang semakin dilupakan.

Selain kemenangan terbaru itu, video muzik yang diterbitkan bersama Kanid Studio serta Project Room berkenaan turut menjadi finalis separuh akhir dalam kategori Best Film untuk sebuah acara anugerah di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 11:09 AM