ALENA
ALENA
Oleh Syafil Syazwan Jefri


NAMA Alena Murang mungkin tak sehebat dan tidak dikenali seperti penyanyi lain yang aliran seninya berada dalam arus perdana.

Namun, banyak hal yang membanggakan diperjuangkan penyanyi berdarah campuran Kelabit, Inggeris dan Itali ini.

Dilahirkan di Kuching, Sarawak, Alena kini hadir dengan buah tangan terbaharu yang mengangkat lagu tradisi budayanya berjudul Midang Midang. Menggunakan bahasa Kelabit sepenuhnya, itu misi utama penyanyi berusia 30 tahun ini.

“Ramai orang yang ingin tahu mengenai kebudayaan Sarawak dan Malaysia, namun, tak banyak yang ditonjolkan. Masyarakat tempatan dari Semenanjung Malaysia juga ramai ingin tahu mengenai budaya Sarawak.

“Jadi, menerusi penghasilan karya ini, saya dapat perkenalkan budaya etnik Kelabit dan Sarawak. Apabila orang luar lihat, mereka akan cari mengenai Malaysia, sekali gus memperkenalkan negara kita kepada dunia luar,” katanya.

Bercerita mengenai single Midang Midang, ia lagu rakyat yang diberi nafas baharu.

“Midang membawa maksud jemur di tengah panas dan ia adalah lagu rakyat yang diperturunkan oleh generasi terdahulu kepada generasi muda sehinggalah hari ini.

“Versi ini diberi nafas baharu dari segi melodi dan cara nyanyian saya,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai latar belakangnya, Alena mula bermain alat muzik sape sebagai satu cabang seni yang diminatinya sejak berusia 11 tahun.

“Dari situ, saya mula jatuh cinta dengan dunia seni terutama yang berkaitan muzik. Sebelum ini, saya pernah bekerja dalam bidang korporat di Kuala Lumpur.

“Selain muzik, jiwa seni saya juga terarah kepada seni lukis dan pernah menyimpan cita-cita menjadi pelukis,” katanya.

Ditanya mengenai cabarannya sebagai artis yang bergerak secara bebas atau indie, Alena mengakui ada sedikit kesukaran untuk dia mencuba nasib dalam industri arus perdana.

“Tak semua orang boleh menerima genre yang saya bawakan iaitu world music. Jadi, satu cabaran besar buat saya yang bergerak secara bebas untuk menempa nama dan mencari ruang dalam industri muzik tanah air.

“Sekiranya ada label atau syarikat rakaman yang diwujudkan khas untuk memperjuangkan world music, mungkin saya akan sertai. Buat masa sekarang, saya bergerak dan menguruskan karier seni secara sendiri,” katanya.

Alena juga baru melancarkan video muzik Midang Midang yang menyajikan nilai budaya Sarawak dan etnik Kelabit.

Walaupun tidak dikenali dalam industri, Alena pernah membuat persembahan di pelbagai acara besar di seluruh dunia.

Antaranya Minggu Fesyen Paris di Perancis, Festival Rudolstadt (Jerman), Festival Colours of Ostrava (Czech Republic) dan Festival Sejong & Minggu Muzik Seoul (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:00 AM