ALENA ingin memperjuangkan bahasa Kelabit memandangkan di Malaysia, banyak bahasa etnik sudah semakin pupus dan dilupakan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ALENA ingin memperjuangkan bahasa Kelabit memandangkan di Malaysia, banyak bahasa etnik sudah semakin pupus dan dilupakan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Alena Murang yang memperjuangkan lagu berbahasa Kelabit belum merancang untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Alena, 30, berkata, single baru yang mengangkat lagu tradisi etnik Kelabit berjudul Midang Midang juga dihasilkan dalam bahasa Kelabit sepenuhnya.

"Midang bermaksud jemur di tengah panas. Ia dihasilkan semula dengan nafas baru dan sepenuhnya dalam bahasa Kelabit. Buat masa sekarang, saya belum merancang untuk mengalih bahasa lagu ini ke dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ingin memperjuangkan bahasa keturunannya itu memandangkan di Malaysia, banyak bahasa etnik sudah semakin pupus dan dilupakan.

"Mungkin ramai tak tahu, 70 hingga 80 peratus bahasa etnik di Malaysia semakin pupus dan dilupakan. Jadi, saya fokuskan kepada penghasilan lagu berbahasa Kelabit dan Kenyah," katanya.

Alena juga hari ini melancarkan video muzik Midang Midang yang memaparkan tradisi etnik Kelabit di Miri dan Bario, Sarawak.

Pihaknya kini dalam proses untuk meneliti sekiranya video muzik itu sesuai atau tidak untuk menyertai beberapa acara festival filem.

Selain menyanyi, Alena juga berbakat bermain alat muzik tradisi Sarawak, Sape.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:22 PM