AZLEE rancang tamat zaman duda dalam tempoh 5 tahun lagi.
AZLEE rancang tamat zaman duda dalam tempoh 5 tahun lagi.
Norhayati Nordin

BIARPUN mengakui hatinya kini disulam cinta baharu, ia tidak bermakna pelakon, Azlee Khairi, 30, akan menamatkan status dudanya segera.

Pelakon drama Maaf Tak Indah dan Seadanya Aku di TV3 ini memaklumkan dia merancang berkahwin sekitar lima tahun lagi apabila keadaan kewangan dan kerjaya seni betul-betul stabil.

Menurut Azlee, perancangan masa depan itu sudah dibincangkan dengan kekasih yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Aniss, 22. Katanya, Aniss memahami dan boleh menerimanya dengan baik.

"Saya perlu kukuhkan kerjaya seni dan kewangan dahulu sebelum bercadang berkahwin. Ia menjadi tanggungjawab utama saya yang akan menggalas peranan sebagai ketua keluarga.

"Sudah semestinya saya mahu isteri dan anak nanti hidup bahagia. Sekarang saya kena fokus pada kerja dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik.

Azlee yang pernah popular dengan drama Love You Mr Arrogant bersama Zara Zya berkata dia bersyukur tawaran berlakon diterima tidak putus. Malah, pilihan watak diperoleh juga sentiasa memberi cabaran kepadanya.

"Sekarang, saya sibuk menyiapkan penggambaran drama Derhaka Cinta Jebat. Sebelum ini, penggambaran ditangguhkan kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

"Alhamdulillah, sekarang aktiviti penggambaran pun dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti disaran kerajaan untuk keselamatan ramai," katanya.

Menganggap penularan Covid-19 sebagai dugaan tak diduga, Azlee berkata sekarang kita semua kena membiasakan diri dengan budaya kehidupan berteraskan normal baharu yang lebih memfokuskan pada penjarakan sosial dan kebersihan.

Dalam pada itu, Azlee yang akhirnya mengaku dia duda yakin tak akan ada perkara berbangkit timbul di antaranya dan bekas isteri, Dayang Norlelawati Puteh, 36.

Katanya, dia juga sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat pengakuan itu kepada media kerana enggan terus berteka-teki.

Azlee dan Dayang Norlelawati yang berasal dari Brunei, mendirikan rumah tangga pada 2014. Sepanjang perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:30 AM