MINAT dan jiwa Azlee pada lakonan tidak pudar. FOTO Aziah Azmee
MINAT dan jiwa Azlee pada lakonan tidak pudar. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


LIMA tahun menghilang diri daripada radar industri hiburan adalah pilihan sendiri yang dibuat pelakon berkaliber, Azlee Khairi, 30.

Tidak kesal dengan tindakan diambil pemuda kelahiran Perak ini menyifatkan pada ketika itu dia lebih memilih apa yang diinginkan hatinya.

Kini, keputusan pembabitan semula Azlee dalam kerjaya lakonan sejak November lalu sekali lagi dibuatnya atas dasar mengikut kata hati.

Menurut Azlee yang ditemui pada sesi fotografi diselaraskan Lynnda Sharudin dengan Harian Metro baru-baru ini, dia sudah berfikir semasak-masaknya.

Minat dan jiwa saya pada kerjaya lakonan tidak pernah pudar mahupun hilang sepanjang menyepi diri. Keinginan itu sentiasa membara.

Cuma, biasalah sebagai lelaki semestinya ada ego sendiri. Namun, kini saya memikirkan adalah keputusan yang tepat untuk kemunculan semula.

Apatah lagi, peluang kedua buat saya nampaknya masih ada daripada pihak produksi dan stesen televisyen. Jadi, kenapa perlu saya lepaskan?” katanya.

Justeru, untuk drama pertama sempena ‘kemunculan semula’ Azlee, dia muncul membintangi drama Seadanya Aku terbitan Country Universal Sdn Bhd untuk slot Akasia TV3 yang disiarkan pada Januari depan.

Kini, Azlee sibuk pula di lokasi penggambaran drama Maaf Tak Indah sebanyak 18 episod untuk slot Samarinda TV3.

Azlee berkata, dia bersyukur rutin hariannya sekarang diisi dengan aktiviti bekerja. Katanya, kini fokus semestinya untuk mengumpul kewangan kukuh.

“Kos sara hidup sekarang sangat tinggi. Itu belum lagi termasuk hutang-piutang saya yang lain. Jadi, selagi ada rezeki dalam kerjaya lakonan ini, saya perlu bersungguh-sungguh.

“Tak kisahlah apabila saya perlu menjalani ujian skrin (screen test) yang dibuat pihak stesen televisyen pada mula-mula hendak aktif berlakon semula.

AZLEE muncul semula membintangi drama Seadanya Aku terbitan bakal disiarkan pada Januari depan. FOTO Aziah Azmee
AZLEE muncul semula membintangi drama Seadanya Aku terbitan bakal disiarkan pada Januari depan. FOTO Aziah Azmee

“Saya buang terus ego diri kerana anggap bukan mudah mendapat peluang. Apa yang dilakukan stesen televisyen itu sudah tentu ada sebabnya,” katanya.

Mengulas mengenai pengaruh media sosial seperti Instagram (IG), Azlee berkata, dia juga sedar perlu sedia mengikut rentak industri yang memerlukan pelakon aktif di lapangan digital.

“Demi kelangsungan kerjaya lakonan saya, ikut saja permintaan industri hari ini. Cuma, perkongsian dibuat dengan pengikut di IG berpada-pada.

“Saya lebih selesa dan seronok berkongsi dengan pengikut berhubung aktiviti di lokasi penggambaran ketika bekerja. Alhamdulillah, maklum balas diterima sangat positif,” katanya.

Azlee yang pernah mencipta nama menerusi drama adaptasi novel Love You Mr Arrogant pada 2013 berkata, dia sangat berterima kasih pada sokongan diberi peminat.

Tidak caras pelakon baru

Sedar kehadiran pelakon baru umpama cendawan tumbuh selepas hujan, Azlee berkata, kehadirannya kini bukan untuk bersaing.

Katanya, dia yakin kemunculannya pasti tidak mampu menggugat pelakon baru yang sudah popular dan mempunyai jutaan pengikut di media sosial.

“Saya bukan pesaing, penggugat atau pencabar mereka (pelakon baru). Dalam soal ini, hanya perlu yakin dengan bakat dan rezeki ditentukan Allah.

“Saya juga tidak muncul untuk meraih popular atau mengejar anugerah. Sudah cukup bagi saya, penonton kenal dan menilai bakat lakonan dipersembahkan,” katanya.

Ditanya mengenai antara berlakon drama dan beraksi dalam filem, Azlee berkata, dia menyerahkan pada rezeki dan sekarang keyakinan pengarah tertumpu untuk drama.

“Saya seorang yang tidak boleh membuat beberapa kerja dalam satu masa. Jadi, kini biar saya fokuskan saja pada tawaran berlakon drama dan telefilem,” katanya.

Tidak begitu memilih watak, Azlee berkata, setakat ini dia menerima tawaran berlakon yang difikirkan peranannya sesuai. Katanya, siapa dia untuk bersikap besar kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 6:00 AM