NASHA mahu fokus jaga ibu kandung dan ibu angkatnya. FOTO NSTP
NASHA mahu fokus jaga ibu kandung dan ibu angkatnya. FOTO NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Nasha Aziz, 49, sanggup mengenepikan soal jodoh semata-mata mahu menjaga ibu kandung dan ibu angkatnya yang masing-masing sudah kematian suami.

Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz bersikap positif apabila menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.

"Saya serahkan jiwa raga saya kepada Allah. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya.

“Bapa kandung dan bapa angkat saya sudah meninggal dunia. Saya tak jumpa mana-mana lelaki sebagai jodoh kerana saya mempunyai dua ibu yang ‘single’ ketika ini.

“Jadi, saya adalah anak yang masih solo dan sayalah tempat untuk kedua ibu yang masing-masing sudah berusia lebih 60 dan 70 tahun itu berbual dan meluahkan segalanya" katanya.

Pelakon dan peragawati popular era 1990-an ini mengakui pernah terfikir untuk berkahwin, tetapi perlu mengikut jalan yang ditetapkan Allah.

"Kadang-kadang kita ada bercadang tapi kalau bukan dengan izin Allah takkan dapat juga.

"Saya nampak jodoh saya sekarang dengan ibu-ibu ini. Hari ini pergi membeli-belah dengan ibu kandung, esok dengan ibu angkat pula. Mereka pun sudah uzur dan memerlukan perhatian penuh. Kalau saya ada suami, sudah tentu saya kena tinggalkan mereka sedangkan mereka sensitif dan perlukan perhatian," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Talbis Iblis di Hatter's Castle di Pulau Carey, Klang, semalam.

Nasha berkata, hidupnya juga tidak sunyi kerana dikelilingi ramai anak saudara.

"Saya seronok melayan anak-anak saudara. Mereka ibarat anak sendiri," katanya.

Mengulas mengenai popularitinya sekarang, Nasha berkata, dia sentiasa bersedia berdepan perkara ini.

"Rasanya itu hanya pandangan orang lain. Saya berpijak di bumi nyata dan tak pernah rasa berada di atas. Saya kini lebih suka mengkaji diri sendiri serta mendalami kebesaran Allah. Saya belajar banyak perkara dalam kehidupan. Itu cara saya mencari kehidupan baru.

“Sekarang saya mengejar untuk mendekati Allah dan mencari kebesarannya. Apa yang Allah cipta itu ada rahmat untuk kita fahami. Kita kena ada masa untuk buat serta mengamalkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 12:44 PM