NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
NASHA gigih menjual dari tingkat ke tingkat bangunan pejabat.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

“Bukan senang nak senang, tetapi kalau kita tidak mampu untuk melakukan segalanya tidak perlu berputus asa. Berjuanglah sehingga ke penghujungnya kerana sinar bahagia itu tetap ada apabila kita melakukannya dengan penuh kesabaran.

“Saya tidak akan mengalah dalam setiap apa yang lakukan dan sanggup melakukan apa saja demi kebahagian anak-anak,” tutur Natasha Halieza Nur Mat Yusof sebagai pembuka bicara.

Berstatus ibu tunggal hampir dua tahun lalu menyebabkan Natasha, 36, yang lebih senang dengan gelaran Nasha menyulam tekad untuk membesarkan tiga anaknya dengan cara tersendiri yang mungkin tidak sanggup dilakukan wanita lain.

Pertama kali bersua muka dengan wanita kecil molek ini, penulis amat mengaguminya bukan kerana wajah keanak-anakannya sementelah susuk tubuh persis remaja belasan tahun, tetapi kerana kecekalan menjalani kehidupan yang semakin rumit.

Melihat pada kegigihan dan ketabahannya menguruskan premis perniagaan atas nama Notty Nasha Rich (NNR) di Kompleks Teruntum, Kuantan, penulis yakin wanita berkulit hitam manis itu sentiasa bersedia menghadapi apa jua rintangan dan halangan yang hadir dalam hidupnya sejak memegang status yang digeruni ramai wanita itu.

“Saya perlu bersedia untuk berdepan dengan segala macam perangai manusia ini, ada masa kita berbaik sebagai kawan, tetapi memburukkan kita di belakang.

“Sikap macam ini yang membuatkan saya lebih senang tidak mempunyai ramai kawan dan yang ada sudah cukup memberi sokongan kepada saya untuk teruskan kehidupan,” katanya ditemui di kios jualannya di ruang legar kompleks berkenaan, baru-baru ini.

Cabaran dihadapinya sebagai peniaga vendor makanan produk industri kecil sederhana (IKS) di kios itu bukan sedikit apabila kini terpaksa berdepan dengan sikap beberapa rakan niaga yang tidak senang dengan pembaharuan yang cuba dibawanya di situ.

“Saya cuba bawa pembaharuan, tetapi ditolak pengurusan kompleks ini. Keadaan ini menyebabkan pengunjung sekadar melihat ‘sepintas lalu’ saja barangan yang dijual, namun untuk membelinya boleh dibilang dengan jari.

“Mahu tidak mahu, daripada membiarkan barangan jualan ‘kaku’, saya terpaksa menawarkan produk ini ke tempat lain dengan menghantar ke beberapa premis perniagaan makanan di sekitar bandar ini dan alhamdulillah mendapat sambutan ramai,” katanya yang berniaga di situ sejak tiga tahun lalu.

Nasha yang otaknya sentiasa berputar laju mengambil inisiatif yang jarang dilakukan peniaga berkonsep vendor sepertinya apabila menggunakan kaedah jualan bertroli di beberapa pejabat kerajaan dan swasta yang beroperasi di bangunan berkenaan.

Walaupun tanpa produk sendiri, Nasha masih mampu menjana wang dengan menjual produk IKS yang ada di kiosnya, sekali gus membantu memperkenalkan produk berkenaan di mata masyarakat.

“Letih memang letih, saya menghabiskan masa hampir satu setengah jam menolak troli untuk berjualan dari tingkat 21 hingga sembilan. Saya bermula dari tingkat atas untuk memudahkan pergerakan.

“Kadangkala urus niaga berlaku ketika di dalam lif. Tangan perlu cekap mengisi makanan dalam plastik dan menukar wang pelanggan untuk tidak menyusahkan dan melambatkan pergerakan pengguna lif berkenaan,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia memulakan langkah perniagaan bertroli itu, Nasya tanpa berselindung memaklumkan jualannya kurang memuaskan kerana terpaksa bergantung kepada ‘laku atau tidak’ dan bilangan pelanggan.

Ramai kakitangan pejabat yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang tidak mengetahui kewujudan kiosnya itu menyebabkan pendapatannya sekadar cukup makan.

“Pada peringkat awal berniaga, saya pernah memaklumkan kepada pihak pengurusan kompleks untuk berniaga pada waktu pagi berhampiran kaunter pengawal, tetapi tidak dibenarkan kerana sudah memiliki kios di bahagian dalam.

“Atas saranan beberapa rakan dan juga kakitangan di situ, mereka meminta saya bawa jualan ke pejabat. Secara tidak langsung mereka tidak perlu bersusah payah ke kios saya,” katanya yang menetap di Kampung Pahang, Sungai Soi.

Sebagai menyahut seruan rakannya, jadual kerja Nasha turut berubah selepas bersedia menolak troli jualan tiga kali seminggu bagi melayani kehendak pelanggannya itu.

Bagaimanapun, kesibukannya menguruskan kios bersendirian, menguruskan anak bersekolah, menghantar produk ke outlet terpilih dan pada masa sama bertemu vendor menyebabkannya terpaksa mengehadkan jadual jualannya sehari seminggu saja.

Menurutnya, setiap Rabu, jadual kerjanya berputar ligat 360 darjah kerana perlu melakukan banyak perkara.

“Saya perlu ke kios seawal jam 8 pagi. Menyusun produk di kios, menunggu produk daripada ejen, menyusun raga makanan di atas troli dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) pelanggan yang mahukan pesanan dihantar tepat pada waktu dijanjikan.

“Saya umpamakan diri sebagai bateri yang bertahan lama untuk menerangi hidup orang lain,” katanya.

Nasha berkata, jika tidak mengambil langkah itu (menolak troli jualan), pendapatannya tidak seberapa selain mengharapkan jualan di beberapa ‘outlet’ sahaja.

“Kenapa perlu malu? Ini cara saya mencari rezeki. Anak perlu makan, belanja sekolah, aktiviti luar sekolah. Mereka juga ingin berjalan seperti rakan yang lain.

Mahu atau tidak saya perlu menyediakan keperluan mereka,” katanya merendah diri.

Antara produk jualannya ialah makanan sejuk beku seperti karipap, samosa, temosa, roti canai, vade, piza dan pelbagai jenis roti dan kuih-muih pada harga antara RM1.50 hingga RM7.

Nasha mengakui, pendapatannya bertambah selepas mengambil pendekatan berkenaan dan pelanggan pula semakin mengenalinya tambahan pula dengan sikap ramahnya yang memudahkan urusan berjual beli.

“Kalau hendak pelanggan terus melekat dengan kita, strategi pemasaran perlu ada. Jangan sesekali membiarkan pelanggan berlalu tanpa membeli.

“Jangan lokek bagi pelanggan merasai makanan yang kita jual. Ada masa pelanggan teruja hendak tahu kesedapan produk yang kita jual. Mana yang boleh kita bagi rasa, kita hulurkan kepada mereka. Tidak jatuh miskin untuk sekeping biskut atau cookies diberikan kepada mereka untuk rasa,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih itu, berkata sejak sebulan lalu dia menjadikan Rabu sebagai ‘Hari Bertemu Pelanggan’ untuk kakitangan kerajaan di situ.

“Dari tingkat ke tingkat pelbagai produk makanan seperti roti, piza, roti arab, karipap, roti jala dan kuih muih bertukar tangan.

“Secara tidak langsung saya membantu IKS menjana pendapatan mereka kerana saya hanya membantu menjual saja,” katanya.

Nasha berkata, dia sentiasa membaca buku karya pakar motivasi terkenal untuk mendapatkan ilmu berkaitan selok-belok dunia perniagaan.

“Kita adalah kita yang sebenarnya, jangan biarkan orang lain mempengaruhi kehidupan kita melainkan kita sendiri mahu berubah,” kata ibu kepada Nurul Nadia Adlina, 14, Nurul Atikah Hazirah, 12, dan Adam Alif Irfan,7.

Nasha pernah melalui episod duka dalam kerjayanya apabila diberhentikan kerja tanpa sebab oleh bekas majikannya yang juga sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) terkenal di bandar Kuantan sebelum menggunakan wang simpanannya RM6,000 untuk memulakan perniagaan pakaian.

“Bagaimanapun, perniagaan saya terbantut dan terpaksa beralih arah berniaga makanan pula yang segalanya bermula ketika berlangsungnya Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013.

“Entah dari mana datangnya kekuatan dan keberanian yang ada pada saya apabila meminta untuk bekerjasama dengan seorang pengusaha kek dengan membantu memasarkan produknya dan ternyata ‘mulut bertih goreng’ saya berjaya meletupkan produk (kek) keluaran syarikat berkenaan selepas pameran berakhir.

“Memang sedih apabila mendengar dia bercerita, jualannya kurang memberangsangkan walaupun mempunyai lebih 1,000 ‘like’ ketika promosi di laman sosial Facebook,” katanya yang membantu memasarkan 20 produk IKS dari seluruh negeri .

Pendirian wanita hitam manis itu mudah, sesiapa saja boleh berniaga waima anak sekecil lima tahun sudah boleh berniaga.

“Saya diberi kebolehan pandai bercakap dan mampu membuat mata orang lain terkebil-kebil mendengar celoteh saya dan di situ sebenarnya kerja saya iaitu membantu orang lain mencari rezeki.

“Saya bantu mereka tingkatkan jualan, ‘meletupkan’ produk mereka sehingga daripada ‘tiada apa-apa’ kepada situasi tidak menang tangan untuk menerima permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, kebolehan berkomunikasi mungkin diperoleh ketika pada usia muda kerana diajar berniaga sedari usia kanak-kanak sehingga remaja.

“Ketika kanak-kanak, saya mengikuti ibu saudara dengan menunggang basikal membawa jualan untuk di hantar ke kedai kopi Cina sebelum ke sekolah di Trolak, Perak.

“Dari situ, saya belajar berniaga, menyimpan wang saku dan berjimat-cermat,” katanya yang dipelihara sejak bayi oleh arwah ibu saudaranya, Hamidah Kasim sebelum kembali menetap bersama ibu, Hainon Kasim,68 ketika berusia 16 tahun.

Menyambung kisah pengusaha kek berkenaan, Nasha berkata, dia dengan senang hati menyatakan hasrat membantu pasangan berkenaan dan hasilnya pasangan suami isteri itu tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan sehingga si suami mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perusahaan mereka.

“Daripada bekerja di dapur rumah, mereka kini sudah memiliki bengkel dan bakal membuka cawangan di Kuala Lumpur dengan satu produk itu sahaja,” katanya.

“Isterinya pula tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih kepada saya setiap kali berjumpa untuk menghantar kek jualannya kepada saya kerana membuka peluang kepadanya sehingga mampu membuka cawangan lain,” katanya.

Di pengakhiran temu bual, penulis kagum melihat sisi kehidupan ibu tunggal ini yang jelas kelihatan berpandangan jauh mahu memberikan sinar kebahagian kepada tiga cahaya matanya.

“Saya sanggup lakukan apa sahaja demi memastikan keperluan diri dan anak dipenuhi. Sebagai ibu tunggal, saya perlu menjaga perlakuan supaya tidak dipandang hina sesetengah pihak yang mengetahui status saya.

“Bukan senang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa kemewahan hidup dan anak masih kecil,” katanya yang kesal dengan sikap masyarakat yang masih memandang sinis golongan sepertinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 1:34 PM