Nasha Aziz
Nasha Aziz
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Nasha Aziz mengesahkan kini sedang mengenali seorang jejaka sejak sembilan bulan lalu.

Nasha, 51, ketika ditemui di majlis sidang media filem Talbis Iblis berkata, lelaki itu mungkin menepati ciri-ciri lelaki idamannya.

"Saya memang dilamun cinta setiap hari. Saya memang mencari cinta setiap waktu. Cinta itu bukannya datang dari seorang lelaki dan wanita saja, tapi kita semua. Kita sokong satu sama lain, cakap benda baik-baik, galakkan satu sama lain, itulah sifat-sifat keluarga Islam. Kita bersaudara.

"Insya-Allah, dia mungkin menepati. Apa pun, kita kena kenal lebih rapat, kan? Tapi, ruang untuk rapat itu, susah juga sebab baru sembilan bulan," katanya.

Mengulas mengenai lelaki yang menghantar bunga kepadanya setiap hari itu, Nasha menggambarkan bunga itu sebagai simbolik tanda ingatan.

"Simbolik bunga itu adalah mungkin supaya saya selalu mengingatinya. Saya adalah jenis orang yang, kalau melakukan sesuatu, saya akan lakukan sepenuh hati dan fokus dengan perkara yang menjadi tanggungjawab saya.

"Mungkin agaknya, kerana sikap itu, dia yang ingin menarik perhatian saya memberi saya bunga," katanya.

Ditanya mengenai perancangan dan hala tuju hubungannya itu, Nasha berkata, dia mengharapkan pengakhiran yang baik.

"Bila rezeki yang Allah beri, kita nak tahu ke mana arah tuju kita. Insya-Allah, mestilah ke arah yang baik," katanya.

Terbaharu, filem lakonannya, Talbil Iblis arahan pengarah Kabir Bhatia akan ditayangkan di pawagam bermula 20 Oktober 2022.

Selain Nasha yang memegang watak sebagai Junaidah, filem itu turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Sherie Merlis, Jay Iswazir, Daniella Sya, Amir Nafis dan Izzy Reef.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 8:19 PM