Pelakon, Nasha Aziz ketika rakaman filem Rumah Pontianak di Hatter’s Castle Pulau Carey, Banting. FOTO FAIZ ANUAR
Pelakon, Nasha Aziz ketika rakaman filem Rumah Pontianak di Hatter’s Castle Pulau Carey, Banting. FOTO FAIZ ANUAR
Ridzuan Abdul Rahman


Pulau Carey: Pelakon cantik, Nasha Aziz, 52, bersyukur apabila impian untuk berada di Makkah selama sebulan bagi mengerjakan ibadah umrah menjadi kenyataan.

Biarpun awalnya berdepan ujian getir, Nasha yang kini terbabit dalam penggambaran telefilem Rumah Pontianak gembira hajat untuk berkunjung ke Makkah hujung Disember ini menjadi kenyataan.

"Saya akan pergi bersendirian. Ia sebenarnya satu hikmah yang saya peroleh di sebalik pelbagai ujian yang dihadapi sebelum ini.

"Ini adalah salah satu doa saya yang Allah dengar di mana doa ini saya sudah panjatkan sebaik saja selesai menjalani penggambaran sebuah drama rantaian tahun lalu.

"Saya rancang nak gunakan baki bayaran daripada projek ini untuk tujuan itu dan meletakkan harapan menggunung.

"Tambah pula, penerbit drama itu juga berjanji akan membantu untuk membuat urusan tempahan ke sana," katanya yang ditemui di Hatter's Castle yang menjadi lokasi penggambaran, di sini.

Bagaimanapun, impian itu berkecai apabila penerbit terbabit tidak menunaikan janji selain memberikan alasan berada di negara jiran.

"Saya akan terus menuntut hak saya. Namun atas rezeki Allah, saya tetap diundang juga untuk menjadi tetamu-Nya. Dia bagi rezeki lain yang membolehkan saya untuk menunaikan impian saya itu.

"Insya-Allah, saya akan berangkat ke Makkah pada 26 Disember ini selepas penggambaran telefilem ini

selesai. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan saya pun dah berjaya ambil visa pelancong," katanya.

Nasha berkata, dia jarang membelanjakan wang hasil lakonan dan peragaan untuk bercuti kerana lebih mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga, diri sendiri dan perkara yang sepatutnya.

"Inilah pertama kalinya saya gunakan wang dari hasil titik peluh untuk ke luar negara. Saya pernah berjanji dengan diri sendiri, jika saya dapat satu tawaran yang besar, percutian pertama saya untuk terapi diri, saya mahu ke Makkah.

"Inilah rezeki saya yang sepatutnya adalah dari hasil kerja saya sebelum ini. Pada mulanya saya sangka impian itu tak kesampaian apabila hutang yang sudah setahun tertunggak itu tidak dijelaskan.

"Apabila dapat tawaran besar ini, saya kena tunaikan perjanjian dengan diri sendiri. Dengan visa pelancong juga, saya berpeluang melawat banyak tempat di sana," katanya.

Telefilem genre seram terbitan Quiara One Production itu turut menampilkan lakonan Datuk Syafinaz Selamat, Azri Iskandar, Rushdi Ramli, Jaa Suzuran dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 6:06 PM