HADY Mirza ketika membuat persembahan Gegar Vaganza Musim Ke-6 separuh akhir di Dewan MBSA, Shah Alam.
HADY Mirza ketika membuat persembahan Gegar Vaganza Musim Ke-6 separuh akhir di Dewan MBSA, Shah Alam.
Sudirman Mohd Tahir


JURI tetap program Gegar Vaganza musim keenam (GV 6), Datuk Ramli MS menyifatkan Hady Mirza satu-satunya peserta yang menyanyi dengan baik menerusi lagu solo dan duet bersama Dia Fadila.

Ramli berkata, markah 82 peratus yang diperoleh Hady adalah berdasarkan persembahan diberikan sekali gus menyaksikan jurang markah dengan Naqiu yang memperoleh 77 peratus.

“Naqiu kurang markah untuk lagu duet. Saya cuba bawa lagu Hanya Namamu nyanyian asal Azmi itu ke arah genre muzik Naqiu. Tapi, dia masih tak boleh lawan dengan Azmi. Secara keseluruhan pun, penyampaian dia agak kurang.

“Sementara Hady pula, kedua-dua lagu dia sampaikan dengan baik. Malah, dia satu-satunya peserta duet paling okay dan serasi malam ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria dan Citra, Emarina Mohd Kamal berkata, keputusan adalah 100 peratus daripada juri dan tidak ada campur tangan daripada pihak produksi.

“Untuk malam ini dan minggu sebelumnya tidak ada sebarang ‘drama’. Kami ada ‘auditor’. Malah, kita juga tidak ada konsep pilih orang tertentu untuk disingkirkan atau simpan.

“Pada setiap minggu, soal ada penyingkiran atau tak, ia ditentukan pada malam itu juga. Minggu lalu kita putuskan tidak ada penyingkiran sebab markah dua terbawah terlalu dekat,” katanya.

Pada peringkat separuh akhir yang berlangsung malam tadi, Wann dan Noorshila Amin berada di dua kedudukan terbawah seterusnya diumumkan tersingkir dan gagal ke peringkat akhir.

Wann mendapat 57 markah dan Noorshila sebanyak 52.

Tempat ketiga menjadi milik One Nation Emcees (71), Nurfatima (67), Jatt (61) dan Sham Visa (60).

Peringkat akhir GV 6 akan berlangsung pada 22 Disember ini di Dewan MBSA, Shah Alam dan akan dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:46 AM