CHACHA Maembong dan Nadzmi Adhwa merupakan teraju utama filem Anak Perjanjian Syaitan. FOTO ROSDAN WAHID
CHACHA Maembong dan Nadzmi Adhwa merupakan teraju utama filem Anak Perjanjian Syaitan. FOTO ROSDAN WAHID
Georgie Joseph


WALAUPUN tidak menampilkan nama besar, filem Anak Perjanjian Syaitan berjaya mencipta kejayaan tersendiri apabila mencatat kutipan sebanyak RM1.01 juta dalam tempoh lima hari tayangan. 

Penerbitnya, Saifulhaq Anani berkata, pihaknya sendiri tidak menyangka dengan sambutan hangat diterima daripada penonton. 

“Sudah tentu ia satu perkembangan yang positif, apatah lagi kami terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood lain seperti Maleficent Mistress Of Evil, Terminator : Dark Fate dan Joker. Bagaimanapun, kami percaya dengan kekuatan jalan cerita filem ini serta maklum balas positif daripada penonton,” katanya. 


Menurut Saifulhaq, selain promosi yang berterusan di media cetak dan elektronik, komen-komen positif penonton di media sosial turut memainkan peranan besar. 

Katanya, walaupun filem terbitan Screen Studios Sdn Bhd itu tidak meletakkan nama-nama besar dalam barisan pelakon, namun kepercayaan penonton menjadi faktor penting angka kutipan memberangsangkan itu. 

“Saya anggap Anak Perjanjian Syaitan ini sebuah filem ‘underdog’. Walaupun terpaksa bersaing dengan filem besar yang lain, kutipannya tetap memberangsangkan,” jelasnya. 

Anak Perjanjian Syaitan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura sejak 24 Oktober lalu.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:16 PM