IDHAM (kanan) bersama teraju utama Anak Perjanjian Syaitan 2, Alif dan Eyka.
IDHAM (kanan) bersama teraju utama Anak Perjanjian Syaitan 2, Alif dan Eyka.
Ridzuan Abdul Rahman


LEBIH empat tahun berehat dari bidang pengarahan ternyata tidak menghilangkan bisa Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai pengarah hebat.

Idham, 49, kini tampil memperlihatkan sentuhan kreatifnya menerusi filem genre seram terbaharu, Anak Perjanjian Syaitan 2 yang menemui penonton di pawagam bermula Khamis lalu.

Pengarah dikenali menerusi beberapa karya seram pecah panggung seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Niyang Rapik berkata, dia lega apabila Anak Perjanjian Syaitan 2 ditayangkan di 130 pawagam.

"Di Brunei saja ditayangkan di tujuh pawagam. Ikutkan masa peraturan Skim Wajib Tayang, kami dapat 75 pawagam saja.

"Tapi, kami melihat ada peningkatan pawagam selepas buat tayangan perdana pada 4 Disember lalu. Selepas itu kami lihat peningkatan mendadak permintaan dari pawagam.

"Ia bukan mudah kerana kami tak boleh paksa-paksa mereka untuk tayangkan filem. Strategi buat tayangan awal kerana nak ada lebih masa untuk promosi ternyata berjaya," katanya.

Idham yang mengarahkan filem terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd ini bersyukur kerana Primeworks Studios sebagai ejen publisiti mempromosikan filem ini sebaik mungkin.

"Boleh nampak impaknya menerusi papan iklan di beberapa lokasi. Tayangan di 130 pawagam antara pembukaan yang besar untuk 2024.

"Insya-Allah filem ini mampu menghiburkan penonton. Paling bersyukur apabila saya tak jumpa lagi maklum balas negatif daripada penonton.

"Banyak yang bagi komen positif. Ia menjadi 'trigger' kepada pawagam untuk tambah lagi tontonan," katanya.

Mengulas berkenaan sasaran kutipan, Idham berkata, dia menyasarkan seramai mungkin menonton filem ini.

"Yang penting ialah kita percaya kalau orang suka produk kita, jadi sebutan insya-Allah kutipan akan besar. Bagi saya, sejak hari pertama saya buat filem, semuanya berkaitan penonton suka dan rasa.

"Kalau orang tak suka, ia akan beri kesan kepada kutipan. Sebenarnya ini satu cabaran terbesar sebab nak buat 'comeback' bukan sesuatu yang mudah.

"Tapi, saya percaya kepada kerja berpasukan. Kalau tengok pada pelakon pun bukan tangkap muat. Semua gred A. Kalau nak hasilkan filem terbaik, 'team' pun kena terbaik," katanya.

Barisan pelakon yang membintangi Anak Perjanjian Syaitan 2 ialah Alif Satar, Fasha Sandha, Eyka Farhana, Azizah Mahzan, Dian P Ramlee, Shaharuddin Thamby, Azlan Komen dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 6:45 AM