Penstriman Disney+ Hotstar bakal dilancar, tayang produk tempatan.
Penstriman Disney+ Hotstar bakal dilancar, tayang produk tempatan.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: The Walt Disney Company mengumumkan akan melancarkan perkhidmatan penstriman Disney+ Hotstar pada 1 Jun nanti, hari ini.

Perkhidmatan itu bakal menyajikan jenama filem-filem pecah panggung serta ikonik termasuk daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic serta karya hit dari Asia.

Lebih menarik, rangkaian filem serta produk kandungan tempatan turut disajikan dalam perkhidmatan itu. Ia termasuk produk terbitan Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les' Copaque Production, Red Films dan banyak lagi.

Pengarah Eksekutif Kandungan dan Kreatif, Disney+ Hotstar Asia Tenggara, Datuk Ahmad Izham Omar berkata semestinya ia satu penghormatan apabila produk tempatan turut diutamakan dalam perkhidmatan itu.

"Dalam pada membawakan kandungan hebat jenama Disney dari seluruh dunia, ia satu penghormatan untuk bekerjasama dengan studio dan pengkarya tempatan menyajikan cerita Malaysia dalam Disney+ Hotstar.

"Menerusi Disney+ Hotstar, kami amat teruja untuk terus menyokong kandungan buatan Malaysia dan memberikan sepenuh tumpuan buat kisah menarik, pembikin filem, serta bakat dari negara ini," katanya.

Antara filem hebat antarabangsa yang boleh ditonton menerusi Disney+ Hotstar termasuk The Mandalorian, High School Musical: The Musical: The Series, The Falcon and The Winter Soldier, Loki, Avengers: Endgame, Avengers: Infinity War, dan Black Panther.

Tidak ketinggalan, Mulan, Maleficent: Mistress of Evil, The Lion King, Aladdin, Beauty and the Beast; Frozen 1 & 2, Moana, Big Hero 6, Soul, Coco, The Incredibles 2, Finding Dory, Nomadland, The Walking Dead, Jojo Rabbit, Criminal Minds, Fresh off the Boat, The Simpsons, Grey's Anatomy, 9-1-1, dan banyak lagi. 

Manakala, produk tempatan termasuk J2: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali The Movie 2, drama Single Terlalu Lama, Kekasih Hati Mr. Bodyguard, J Revolusi, Tombiruo, KL Special Force, Ejen Ali The Movie, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Munafik, dan Istanbul Aku Datang! 

Sesuai untuk tonton pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak, pelanggan cuma perlu membayar RM54.90 untuk langganan Disney+ Hotstar selama tiga bulan. Ia juga boleh dilanggan menerusi pakej khas Astro.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 12:49 PM