BELLA ASTILLAH
BELLA ASTILLAH
Norhayati Nordin


SEJAK berstatus ibu tunggal, perjalanan karier seni penyanyi dan pelakon, Bella Astillah semakin menyinar.

Bella yang baru muncul sebagai watak utama dalam drama Cinta Belum Tamat Tempoh, menganggap ia rezeki anak dan keluarga.

Berbicara mengenai karier, Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 25, berkata, dia menceburi bidang nyanyian dan lakonan sejak kanak-kanak.

“Cuma, apabila berumah tangga, saya lebih banyak berurusan di belakang tabir dengan mengatur jadual.

“Namun, selepas berpisah dengan Aliff Aziz, saya kembali aktif dalam karier ini.

“Syukur alhamdulillah, rezeki pun murah dan saya cuba tidak melepaskan peluang diperoleh. Namun, tetap memilih,” katanya.

Menurut Bella, dia bersikap memilih kerana mengambil kira kemampuannya untuk membahagikan masa dengan komitmen.

“Selain berlakon, saya juga menyanyi. Bagaimanapun, tak dinafikan komitmen masa perlu diberi terhadap lakonan agak panjang.

“Ia sama sekali berbeza dengan nyanyian. Oleh itu, saya perlu memilih kerana banyak perkara mesti didahulukan.

“Antaranya, tanggungjawab saya sebagai ibu. Saya mesti peka dalam membahagi masa untuk anak,” katanya.

Sebagai anak sulung, Bella berkata, dia juga lebih selesa memberi keutamaan kepada ibu bapa dan keluarga.

Mengakui ada kala membawa anak, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun ke set penggambaran, Bella berkata, ia sekadar pengubat rindu.

“Lagipun, ketika di set penggambaran ibu saya yang menjaga Ayden. Malah, Ayden pun senang dijaga.

“Ayden tak banyak kerenah dan kehadirannya di set penggambaran tak mengganggu saya untuk bekerja,” katanya.

Menguruskan karier seninya sendiri Bella berkata, dia tak kekok. Katanya, mungkin sudah terbiasa sejak dahulu.

Berbicara penerimaan peminat terhadap lakonannya, Bella berkata, biasalah ada orang yang suka dan sebaliknya.

“Saya melihat positif penerimaan penonton. Kepada yang suka pada lakonan saya, alhamdulillah dan terima kasih.

“Pada yang tidak suka, saya tak kecil hati, kecewa atau marah. Bagi saya, bukan mudah nak puaskan hati orang,” katanya.

Mengulas cabaran sebagai pelakon, Bella berkata, dia sentiasa bersikap profesional terutama berlakon drama cinta.

“Saya tak akan sesekali membawa perasaan hingga ke luar lokasi. Ini kerana saya berlakon kerana minat dan mahu belajar.

“Apatah lagi, ibu saya sentiasa ingatkan supaya pandai jaga diri. Jadi, pesanan itu sentiasa saya ingat,” katanya.

Bakal ke Tanah Suci mengerjakan umrah bulan depan, Bella berkata, dia akan pergi bersama ibu bapa.

Katanya, dia bersyukur dapat menjadi tetamu Allah tidak lama lagi bersama keluarga.

Mengulas perkembangan karier lakonannya, Bella berkata, dia akan tampil dengan telefilem Kerusi Kecil yang dibintangi bersama Zizan Razak.

Untuk nyanyian, menurut Bella, jika tiada aral dan mengikut perancangan diatur dia akan muncul dengan lagu baharu sekitar hujung November nanti selepas pulang daripada umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:01 AM