DIDI.
DIDI.
Norhayati Nordin


Meskipun Didi Astillah berusaha gigih menempa nama dalam industri seni, namun kakaknya, Bella Astillah dilihat lebih menjadi perhatian.

Status Bella, 20, sebagai tunang penyanyi Singapura, Aliff Aziz yang lebih menyerlah membuatkan nama Didi, 19, seakan-akan tenggelam.

Tidak berasakan Bella sebagai saingan, Didi atau Dayang Nazilah Awang Astillah berkata, dia ada matlamatnya sendiri.

Ujarnya, perjuangan seninya masih jauh dan dia perlu berusaha lagi.

“Bagi saya, Bella tidak mengganggu sedikit pun perjalanan karier seni diceburi. Dia ada kehidupan sendiri dan masih tetap menyokong saya.

“Cuma rezeki saya untuk lebih dikenali belum lagi menjadi kenyataan. Saya tidak kecewa dan berputus asa, sebaliknya nekad teruskan usaha,” katanya.

Didi juga makin bersemangat untuk meneruskan kerjaya seninya kerana kini bernaung di bawah syarikat Paranormal Records. Dia juga baru habis penggambaran muzik video untuk lagu Percaya.

Lagu Percaya yang menjadi taruhan barunya kali ini adalah hasil ciptaan komposer Jamiel Said dan dinyanyikan secara duet dengan Nawkhi atau lebih dikenali sebagai Ikhwan Rosli yang juga penyampai radio Kool FM.

Kata Didi, lagu Percaya sebagai peluang kedua untuknya membuktikan bakat nyanyian dirinya selepas muncul dengan album sulung sebelum ini.

“Saya pernah muncul dengan satu album sebelum ini bersama syarikat rakaman Warner Music tetapi bakat saya nampaknya belum terserlah.

“Mungkin belum ada rezeki buat saya dan tiada istilah kecewa dalam diri saya. Namun jauh di sudut hati, saya harus yakin dan bijak mencari peluang.

“Apa yang berlaku pada album pertama saya adalah pengalaman. Mengambil kira pengalaman itu, saya cuba perbaiki apa difikirkan masih kurang,” katanya.

Menurut Didi, peluang merakamkan lagu Percaya semestinya menjadi harapan tinggi buat­nya menyerlahkan bakat.

Lagu Percaya yang bergenre pop diakui Didi sesuai dengan jiwa remajanya berbanding album lalu di mana muzik diketengahkan lebih matang.

“Barangkali juga, lagu dimuatkan kurang sesuai dengan saya yang remaja. Disebabkan itu, album sulung kurang mendapat perhatian.

“Tak dinafikan kebanyakan peminat saya adalah kelompok remaja. Jadi, lagu yang menepati cita rasa kami semestinya mempunyai melodi yang ‘catchy’,” katanya.

Mengenai cabang seni lain yang mahu diceburi, Didi berkata dia sebenarnya berhasrat untuk aktif kembali dalam bidang lakonan.

Katanya, sebelum menjadi penyanyi dia berlakon, cuma apabila fokus pada nyanyian dia menolak tawaran berlakon.

“Jika ada peluang saya mahu aktif semula sebagai pelakon kerana untuk dikenali sebagai penggiat seni berjaya, saya perlu berani mencuba.

“Tidak salah rasanya untuk 2016 ini cabang karier itu dikembangkan semula dalam lakonan,” katanya.

Mengakui dirinya tidak cerewet dalam memilih watak, apa yang menjadi keutamaan Didi kini ialah memperoleh peluang dan tawaran.

Ketika usia kanak-kanak, Didi pernah membintangi drama Adi Dan Abah, Bunga Merah Punya, Kemelut Rindu dan Kelas Sebelah.

Gadis genit kelahiran Sabah ini juga pernah membintangi filem Skrip 7707 dan Damping Malam termasuk berlakon telefilem Potret Aidilfitri dan Cinderella Story.

Tahun lalu, Didi juga membintangi dua drama, Solusi Afrina di TV Alhijrah dan satu lagi di saluran HyppTV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:02 AM