GELARAN ibu tunggal tidak melemahkannya. FOTO: Pinography (Instagram: @pinography)
GELARAN ibu tunggal tidak melemahkannya. FOTO: Pinography (Instagram: @pinography)
Oleh Sudirman Mohd Tahir


PERCERAIAN yang terjadi dalam hidupnya bukanlah penamat segala-galanya. Sebaliknya, ia dijadikan langkah pertama dalam memulakan kehidupan baru yang lebih baik.

Betul, setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah. Meski pada awalnya perit untuk dilalui, kini dia mampu tersenyum bahagia. Begitulah aturan yang Allah SWT susun buat penyanyi dan pelakon Bella Astillah.

Bella, 25, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah menyifatkan segala yang diterima kini rezeki tidak dijangka. Satu persatu nikmat hadir, sekali gus buat dia semakin bersyukur.

Enggan menoleh ke belakang, Bella berkata, dia sudah menemukan hala tuju yang betul bagi meneruskan kehidupannya.

Baginya, apa yang sudah terjadi biarlah berlalu dan tinggal memori. Dia tidak ingin lagi menangisi atau meratapi kerana apa yang penting kebahagiaan dicari bersama cahaya mata tercinta, Mohamad Ayden Adrean dan keluarga.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Diakui bukan mudah mengharungi kehidupan berdikari tetapi saya perlu kuat. Gelaran ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sedikit pun tidak melemahkan saya.

“Apa yang terjadi sebelum ini, saya jadikan pengajaran. Saya anggap ia takdir yang diciptakan untuk saya. Malah, saya reda dengan segala-galanya. Namun, itu juga membuatkan saya bangkit untuk menjadi seperti hari ini.

“Dalam masa sama, saya cukup bertuah apabila mempunyai ibu bapa dan adik-beradik yang sangat membantu. Tidak pernah sekali pun mereka mengabaikan saya. Mereka ada saat susah dan jatuh saya,” katanya.

Menurut Bella, fokus utama kini adalah mencari rezeki dan tiada istilah goyang kaki dengan mengharapkan sesuatu datang bergolek. Dalam erti kata lain, segala-galanya perlu buat sendiri. Jika tidak, dia akan gigit jari. Namun, tegas Bella tidaklah sampai perlu dia meraih simpati sesiapa.

“Setiap peluang dan tawaran yang datang saya perlu syukuri. Kepercayaan yang diberi saya anggap satu penghormatan. Jadi, saya harus laksanakan dengan sebaiknya dan tak boleh dipersiakan begitu sahaja.

“Walaupun kerja tak berhenti, saya seronok. Ini rezeki anak dan keluarga saya. Penat macam mana sekali pun, saya cuba berikan yang terbaik. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.

“Lagi satu, tugas mencari nafkah untuk membesarkan anak terpikul di bahu saya. Selagi mampu bekerja menggunakan tulang empat kerat, saya akan buat. Saya sentiasa berdoa semoga terus diberi kesihatan dan kekuatan,” katanya.

MASIH SENDIRI

Diusik mengenai kehidupan peribadinya, Bella berkata, dia masih solo dan selesa menjalani kehidupan bersama anak tercinta.

Malah, Bella berkata, belum waktu untuk dirinya memikirkan perkara itu kerana yang menjadi keutamaan sekarang ialah anak, keluarga dan kerjaya.

“Saya selesa dengan apa dilalui sekarang. Saya bahagia di samping anak dan keluarga. Kalau ditanya sekarang apa perkara yang lebih membahagiakan, jawapan saya sudah pasti mereka.

“Bersama mereka saya bergelak tawa, dengan mereka juga saya menumpahkan air mata. Pendek kata, mereka lebih memahami saya. Ketika ini, mungkin belum ada orang lain yang boleh menggantikan tempat mereka,” katanya.

Jadi heroin

Dalam kesibukan membesarkan anak, siapa sangka Bella juga mampu membahagikan masa apabila terbabit dalam penggambaran drama Cinta Belum Tamat Tempoh yang kini ditayangkan di slot Megadrama, Astro Ria.

Menurut Bella, itu adalah percaturan pertamanya melakonkan watak utama dalam drama bersiri.

“Saya berbesar hati dan gembira mendapat tawaran berlakon daripada pihak MIG Production Sdn Bhd. Bagi saya, berlakon drama memerlukan komitmen tinggi. Namun, selepas berbincang dengan keluarga, saya bersetuju.

“Sebelum ini saya pernah berlakon, jadi ada sedikit asas dalam lakonan. Cuma, dalam drama ini saya kena beri lebih lagi sebab watak utama. Saya tidak boleh bersikap sambil lewa.

“Saya berterima kasih kepada pengarah, kru dan pelakon lain yang banyak membantu. Jika ada kekurangan dalam lakonan, insya-Allah lain masa saya akan cuba baiki. Banyak lagi yang saya perlu pelajari,” katanya.

Selain Bella, pelakon lain yang terbabit ialah Nafiz Muaz, Fendy Bakry, Hun Haqeem, Dayang Areeda, Haleeda Mazlin, Sissy Imann, Darwish Mikael, Zailin Aqeesha, Fikry Kiki dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Bella juga baru selesai menjalani penggambaran telefilem Kerusi Kecil lakonan bersama Zizan Razak.

KEPERCAYAAN yang diberi Bella anggap satu penghormatan.
KEPERCAYAAN yang diberi Bella anggap satu penghormatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:30 AM