ZUL HUZAIMY
ZUL HUZAIMY
Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Zul Huzaimy yang layak ke pentas akhir program realiti All Stars Buka Panggung memasang impian untuk muncul juara program berkenaan kerana mahu menunaikan impian ibunya untuk mengerjakan ibadah haji.

Zul berkata, itu adalah nazarnya untuk membalas jasa ibu yang menjaga dia serta 11 adik-beradiknya.

“Tentunya saya berharap untuk menjadi juara. Saya ada 12 adik-beradik dan saya anak kedua dalam keluarga. Ibu yang membesarkan kami dari kecil hingga dewasa.

“Dia sudah menunaikan umrah dan sering bercerita mengenai betapa gembiranya jika dapat ke Makkah lagi. Saya faham, dia teringin untuk ke sana sekali lagi dan kalau menjadi juara, saya bernazar untuk menghantar ibu menunaikan haji,” katanya.

Selain itu, Zul yang semalam bergelar juara mingguan di minggu separuh akhir program itu semalam berkata, dia juga ingin menggunakan wang kemenangan itu untuk keluarganya.

“Saya akan gunakan wang kemenangan itu untuk keluarga juga terutamanya isteri dan anak saya.

“Selain itu, siapa tahu jika kemenangan itu secara tak langsung dapat mempromosikan drama bersiri Suri Katriana yang akan mula ditayangkan pada 29 Oktober depan,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya untuk pentas akhir yang akan berlangsung minggu depan, Zul berkata, dia tidak mahu menyusun sebarang strategi sebaliknya biarkan idea itu datang secara spontan.

“Saya sudah cuba susun strategi, tapi nampaknya ia tidak berhasil. Jadi, untuk pentas akhir, saya akan kosongkan kepala saya dan biarkan semua idea itu berlaku secara spontan,” katanya.

Selain Zul, tiga peserta lain yang melangkah ke pentas akhir adalah Datuk Aaron Aziz, Noorkhiriah dan Rita Rudaini.

Pentas separuh akhir All Stars Buka Panggung malam tadi menyaksikan Datuk Rosyam Nor diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:43 PM