AARON akui genre lawak bukan identiti dirinya. FOTO Sairien Nafis
AARON akui genre lawak bukan identiti dirinya. FOTO Sairien Nafis
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON yang dikenali menerusi watak gengster dan romantis, Datuk Aaron Aziz mencuri perhatian apabila muncul dalam program lawak All Star Buka Panggung siaran Astro Warna.

Menariknya, Aaron yang diletakkan pada minggu pertama muncul juara dengan markah keseluruhan 37 peratus sekali gus menewaskan tiga peserta lain iaitu Naim Daniel (29%), Yusri Abdul Halim (18%) dan tempat terakhir, Liyana Jasmay dengan markah sebanyak 14%.

Kemenangan itu melayakkan Aaron berentap pada peringkat separuh akhir minggu lalu bersama empat lagi juara mingguan lain iaitu Datuk Rosyam Nor, Zulhuzaimy, Rita Rudaini dan Norkhiriah.

Aaron mencipta kejutan lagi apabila diumumkan ke peringkat akhir bersama Zulhuzaimy, Norkhiriah dan Rita Rudaini yang berlangsung hari ini.

“Sejujurnya, saya tak ada persiapan. Saya buat saja. Kalau kita rancang nak cakap apa pun, kadangkala tak boleh buat. Akhirnya kena spontan juga.

“Apatah lagi tema peringkat akhir masih belum dimaklumkan, maka memang tak boleh nak rancang apa. Apa yang boleh saya buat ialah redah saja dan buat sehabis baik,” katanya.

Aaron berkata, dia berharap peminat tidak meletakkan harapan tinggi terhadapnya kerana genre lawak bukan identiti dirinya.

Menurut Aaron, pembabitan dirinya dalam program itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap pihak Astro yang menerbitkan program baharu.

AKSI Aaron pada program All Star Buka Panggung. FOTO Sairien Nafis
AKSI Aaron pada program All Star Buka Panggung. FOTO Sairien Nafis

“Dari minggu pertama, program ini memang menghiburkan dan konsepnya segar. Ramai cakap, dari situ mungkin saya boleh bina satu lagi cabang kerjaya baharu sebagai pelawak. Namun, itu bukan apa yang kita inginkan.

“Pembabitan saya adalah bagi menyokong stesen TV. Apabila mereka panggil, kita sokong. Jadi, saya berharap penonton tak ambil serius. Buat persembahan di sini, habis di sini.

“Ia juga tak ada kena-mengena soal bagus atau tidak ketika berlawak. Ini kerana ia sangat berbeza dengan lakonan yang saya biasa buat,” katanya.

Mengenai format penjurian berdasarkan 100 peratus undian penonton, kata Aaron, ia berkait rapat dengan rezeki dan tuah.

“Saya tak boleh cakap masih ramai peminat atau sebaliknya tetapi ini boleh dianggap sebagai rezeki. Apatah lagi setiap individu boleh undi 10 kali. Kalau ramai mengundi, itu rezeki,” katanya.

Ditanya adakah kemunculan pelawak jemputan mencacatkan persembahan peserta, Aaron menyifatkan kehadiran mereka sangat membantu.

“Mereka sangat membantu. Walaupun lawak dilakukan peserta tak lucu, keberadaan pelawak boleh buat penonton ketawa. Dari situ penonton akan mengundi.

“Maka, ia dapat mempengaruhi kedudukan peserta. Tidak timbul isu kehadiran pelawak akan menenggelamkan peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 5:00 AM