TOMOK rancang adakan Konsert Reunion New Boyz tahun depan. FOTO Aziah Azmee
TOMOK rancang adakan Konsert Reunion New Boyz tahun depan. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, kini sedang mencari penaja untuk mengadakan Konsert Reunion New Boyz.

Menurutnya, dia dan rakan dalam band yang mula popular sekitar 1999 itu pada awalnya merancang untuk mengadakan konsert pada tahun ini.

"Saya kini sedang mencari penaja untuk menjadi penaja utama Konsert Reunion New Boyz. Kalau ikutkan perancangan asal, kami nak adakan konsert itu dalam tahun ini.

"Namun, sekarang pun dah masuk September dan kami masih lagi mencari penaja. Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, ia akan berlangsung pada tahun depan," katanya kepada Harian Metro.

Konsert itu juga tentunya akan mengubat kerinduan peminat New Boyz yang popular menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang itu.

Tahun ini, usia band itu sudah mencecah 20 tahun dan antara lagu mereka yang popular adalah Meraung, Rajuk di Hati, Norkia dan banyak lagi.

Terbaru, Tomok kini sedang dalam proses menyiapkan album solo ketiganya serta mendapat sentuhan penerbit dan komposer terkenal, Aubrey Suwito.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:18 PM