TOMOK melakukan persembahan pada Konsert New Boyz bakal berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC). FOTO Aswadi Alias
TOMOK melakukan persembahan pada Konsert New Boyz bakal berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC). FOTO Aswadi Alias
Georgie Joseph

Petaling Jaya : Hati penyanyi New Boyz, Tomok, 39, tersentuh apabila masih ramai peminat bertanya mengenai tiket untuk menyaksikan Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang yang berlangsung di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), di sini, semalam walaupun tiket sudah habis dijual sejak November lalu.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, sambutan luar biasa itu mencetuskan semangat mereka untuk mengadakan konsert berskala lebih besar selepas ini.

"Sampai hari konsert semalam, ramai tanya saya masih ada tak tiket walaupun ia sebenarnya sudah 'sold out' (habis dijual) sejak November lalu. Itu perkara yang sangat positif. Insya-Allah, ada rezeki, tempat lebih besar, penonton yang lebih ramailah.

"Tahun depan ulang tahun ke-25 New Boyz, ada perancangan adakan tempat lebih besar," katanya pada sidang media sejurus konsert berakhir.

Menurut Tomok, keputusannya membiayai konsert itu dengan wang sendiri berbaloi apabila melihat semua penonton sangat terhibur sepanjang konsert berdurasi dua jam itu.

"Kami sebenarnya sangat bangga kerana walaupun lagu-lagu kami sudah berusia lebih 20 tahun, mereka masih hafal dan nyanyi bersama. Malam ini sangat 'best' dengan 'crowd' sangat 'happening'," katanya.

Menurut Tomok, mereka juga memang berhasrat dapat membuka mata penaja untuk menganjurkan konsert lebih besar pula selepas ini.

"Bila penaja masuk selepas ini, kami boleh lakukan persembahan lebih luar biasa. Sebab bukan kami ada satu lagu popular saja, tapi sangat banyak yang boleh 'sing along' dan tarik orang datang," katanya.

Konsert itu bukan saja dihadiri peminat tempatan, tetapi juga dari Indonesia dan Singapura.

New Boyz mempersembahkan 20 lagu antaranya Meraung, Sejarah Mungkin Berulang, Marah Bukan Sifatku, Lukamu Lukaku Jua, Lolita, Ku Miliki Jua, Apa Kau Mau, Khilaf, Qyiam, Hanya Tinggal Sejarah dan Norkia.

Selain Tomok, New Boyz yang mencetus fenomena pada penghujung 1990-an turut dianggotai Jay, Lan, Zimi, Syuk, Along, Afiez, Zack dan Ristoe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 11:39 AM