NEW Boyz berharap realisasikan impian pada ulang tahun ke-25.
NEW Boyz berharap realisasikan impian pada ulang tahun ke-25.
Georgie Joseph


LEGASI ditinggalkan kumpulan New Boyz dalam industri hiburan tanah air ada kekuatan sendiri.

Menguasai era 1990-an, pelbagai lagu mereka masih membawa makna tersendiri dalam hati peminat.

Ketika Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang di Stage 1 Theatre, PJ Performing Arts Centre (PJPAC) baru-baru ini, mereka berjaya menggamit kenangan lama lebih 1,400 penonton yang hadir.

Diadakan dua hari, menariknya ada dalam kalangan peminat yang hadir memakai uniform sekolah sebagai simbolik kembali ke masa lalu.

Malah, ada yang datang sebagai pasangan suami isteri seakan-akan mengimbas zaman percintaan mereka.

Apa-apa pun, jeritan dan tenaga luar biasa ditunjukkan penonton pada konsert itu sememangnya cukup menyentuh hati setiap anggota New Boyz.

Tomok berkata, dia paling tak sangka peminat masih hafal lagu mereka selepas lebih dua dekad.

"Ikutkan saya sendiri memang tahan diri saja daripada mengalirkan air mata. Saya sebak bukan kerana sedih tapi tersentuh dan gembira melihat betapa hebatnya sokongan yang datang pada konsert kami.

"Nanti kalau berjurai air mata, tak dapat pula teruskan nyanyian yang baik. Namun sejujurnya, kami sangat tidak sangka dengan tenaga luar biasa mereka. Tersentuh sangat bila tengok mereka masih hafal lagu kami walaupun sudah lebih 20 tahun," katanya.

Pada konsert itu, jelas sekali New Boyz memang buat persiapan rapi dan terperinci terhadap perjalanan seluruh acara itu. Baik daripada segi penataan bunyi dan cahaya, hingga ke persalinan yang mereka pakai.

TOMOK terharu melihat tenaga luar biasa penonton.
TOMOK terharu melihat tenaga luar biasa penonton.

Tomok sendiri jelas ketara memberikan persembahan vokal terbaik dengan tenaga yang berbeza. Kesemua anggotanya saling melengkapi dan interaksi bersama penonton pun semula jadi.

Mendendangkan 20 lagu, masa berjalan pun bagai tidak dirasa kerana penonton cukup terbuai. Masing-masing seperti tidak keruan sehinggakan ada yang bangun dari tempat duduk untuk sesetengah lagu dinyanyikan.

Sungguhpun konsert itu jelas cukup memuaskan, Tomok berkata, mereka juga memang berhasrat dapat membuka mata penaja untuk menganjurkan konsert lebih besar pula selepas ini.

Ini kerana ramai peminat jelas terlepas peluang untuk membeli tiket konsert dua hari mereka itu pada November tahun lalu.

Justeru, mereka merancang untuk realisasikan impian itu pada ulang tahun ke-25 New Boyz tahun depan.

"Sampai hari konsert, ramai tanya saya masih ada tak tiket walaupun ia sebenarnya sudah 'sold out' (habis dijual) sejak November lalu. Itu perkara yang sangat positif. Insya-Allah, ada rezeki, tempat lebih besar, penonton yang lebih ramailah.

PENONTON turut mengenakan baju uniform sekolah sebagai mengimbas kenangan lama.
PENONTON turut mengenakan baju uniform sekolah sebagai mengimbas kenangan lama.

"Apabila penaja masuk selepas ini, kami boleh lakukan persembahan lebih luar biasa. Sebab bukan kami ada satu lagu popular saja, tapi sangat banyak yang boleh 'sing along' dan tarik orang datang," katanya.

Konsert itu bukan saja dihadiri peminat tempatan, tetapi juga dari Indonesia dan Singapura.

Antara lagu dipersembahkan mereka termasuk Meraung, Sejarah Mungkin Berulang, Marah Bukan Sifatku, Lukamu Lukaku Jua, Lolita, Ku Miliki Jua, Apa Kau Mau, Khilaf, Qyiam, Hanya Tinggal Sejarah dan Norkia.

Selain Tomok, New Boyz yang mencetus fenomena pada penghujung 1990-an turut dianggotai Jay, Lan, Zimi, Syuk, Along, Afiez, Zack dan Ristoe.

Walaupun tidak berjaya membawa Syuk dan Along, Tomok sangat bersyukur dengan kesudian Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe untuk bersama-sama dalam konsert itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:40 AM