PERSEMBAHAN Tomok di Pekan Baru, Indonesia mendapat sambutan hangat.
PERSEMBAHAN Tomok di Pekan Baru, Indonesia mendapat sambutan hangat.
Oleh Norul Awatif Romli
.

Peminat Tomok di Indonesia sanggup menunggu lebih lapan jam dan bermalam di hotel sama yang menjadi tempat penginapan penyanyi itu ketika dia menjayakan persembahan di Stadium Tertutup Universiti Islam Riau (UIR), Pekan Baru, Indonesia sempena Program Edutainment UUM-Riau, baru-baru ini.

Ternyata Tomok memiliki aura untuk memikat menerusi lagunya sekali gus terpilih menjadi duta bagi membawa nama Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah ke negara jiran berkenaan.

Ini berikutan populariti penyanyi yang juga pelakon berkenaan kembali meningkat naik dalam kalangan anak muda bukan saja di negara ini, malah rantau Asia Tenggara menyebabkan Tomok diberi peluang buat kali ketiga bagi menjayakan program akademik berbentuk hiburan anjuran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan.

Dalam persembahan berkenaan, penyanyi yang memiliki nama sebenar Shah Indrawan Ismail, 30, ini memukau lebih 500 penonton yang turut menyanyi lagu popular bekas vokalis kumpulan New Boyz itu.

Ternyata Tomok mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri di Indonesia apabila peminat setianya tidak jemu dan seperti terpukau menyaksikan persembahannya, malah memberi sokongan jitu bagi setiap konsert yang diadakan.

"Paling terharu apabila ada peminat sanggup datang dari jauh dan menunggu saya di lobi hotel tempat kami menginap semata-mata mahu mengambil foto bersama. Itu kenangan indah bagi saya," katanya yang tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata kedua yang dijangka pada pertengahan tahun depan.

Pada konsert baru-baru ini, Tomok mempromosikan album solo keduanya berjudul Aku Datang yang masih mengekalkan genre pop rock.

Tomok berkata, kali pertama menjejakkan kaki di Palembang kira-kira empat tahun lalu dan dia seolah-olah tidak percaya apabila rata-rata pengunjung yang hadir adalah daripada kalangan peminat setia kumpulan New Boyz.

"Seterusnya pada awal tahun ini saya diajak oleh pihak UUM mengikuti mereka mengadakan promosi di Padang dan sambutan di situ paling meriah kerana pengunjung yang hadir mencecah 1,000 orang.

"Kebanyakan penonton yang hadir pula adalah peminat New Boyz dan saya tidak menyangka mereka masih mengingati lagu popular kami seperti Sejarah Mungkin Berulang dan Meraung.

"Saya berasa amat terharu dengan mereka dan mengucapkan terima kasih kerana tidak henti-henti memberikan sokongan walaupun sekarang saya bergerak secara solo.

"Insya-Allah, sebagai menghargai jasa mereka, saya bercadang membawa kumpulan New Boys untuk mengadakan konsert di sana (Indonesia) suatu hari nanti," katanya.

Turut diundang ialah penyanyi yang pernah menjadi kegilaan ramai wanita pada era 90-an, Zamani Slam bersama penampilan khas penyampai radio Nasional FM, DJ Muaz.

Ditanya mengenai hasratnya untuk menyambung pelajaran, Tomok berkata, sehingga kini dia menolak tawaran diberikan pihak UUM kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pelajaran.

"Selain menyanyi, saya turut menceburi bidang lakonan. Justeru, saya bimbang sekiranya menerima tawaran belajar saya tidak dapat membahagikan masa antara belajar dengan nyanyian serta lakonan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:01 AM