WESTLIFE harap Nora Anne dapat ditemui secepat mungkin.
WESTLIFE harap Nora Anne dapat ditemui secepat mungkin.
Georgie Joseph


KUMPULAN popular Westlife dari Ireland yang membuat konsert di negara ini merayu dan meminta orang ramai membantu misi pencarian remaja Nora Anne Quoirin, 15, yang juga warga Ireland yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban sejak Ahad lalu.

Salah seorang anggotanya, Nicky Byrne berkata, mereka terkejut apabila mendapat tahu berita membabitkan rakyat senegara mereka itu sebaik tiba di Malaysia dan berharap remaja terbabit segera ditemui.

“Kami sudah kongsikan berita duka itu di media sosial. Kami berharap Nora Anne akan ditemui secepat mungkin. Kepada sesiapa yang ada maklumat, tolong sama bantu cari dia. Keluarganya sekarang pasti sangat bersedih dengan kehilangan itu.

“Saya pasti mereka akan menghargai segala bantuan daripada kamu,” katanya pada konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 7,000 penonton di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, kumpulan yang turut dianggotai Shane Filan, Kian Egan, dan Mark Feehily itu memuat naik maklumat mengenai kehilangan remaja berusia 15 tahun itu di Twitter dan Instagram rasmi mereka.

Kebetulan, Westlife ke sini menjayakan konsert selama dua hari sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka. Konsert itu adalah bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

Nora Anne dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu.

Bagaimanapun, operasi SAR memasuki hari keenam hari ini dan sehingga kini masih belum dapat mengesan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:14 AM