Raja Noraina Raja Rahim


KEDUTAAN Ireland akan membantu dari segi dokumentasi tuntutan mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bantuan itu bagi memudahkan keluarga membawa pulang mayat remaja itu.

“Mereka (kedutaan Ireland) memaklumkan akan sedia dokumentasi untuk mempermudahkan bawa keluar mayat dari Malaysia,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di Seremban, hari ini.

Terdahulu, beliau mengikuti taklimat oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengenai pencarian Nora Anne yang dilakukan sejak 4 Ogos sebelum mayat mangsa ditemui Selasa lalu.

Dr Wan Azizah berkata, beliau menyerahkan siasatan selanjutnya kepada polis.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan SAR yang bekerja keras mencari Nora Anne selama 10 hari.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di resort penginapan mereka di Pantai, pada jam 11.15 pagi.

“Saya tidak boleh komen. Keluarga minta privasi,” katanya ketika ditemui pemberita di laluan masuk resort berkenaan.

Pertemuan itu berlangsung selama 15 minit sebelum Dr Wan Azizah keluar meninggalkan resort berkenaan sambil diiringi anggota polis.

Harian Metro hari ini melaporkan, polis menolak dakwaan Nora Anne dilarikan, diculik dan dirogol selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), selesai jam 9.25 malam kelmarin.

Bedah siasat mendapati punca kematian Nora Anne disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan tekanan.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 12:31 PM
    DR WAN AZIZAH bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat kes kematian Nora Anne Quorin. FOTO Adzlan Sidek
    DR WAN AZIZAH bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat kes kematian Nora Anne Quorin. FOTO Adzlan Sidek