MUNCUL dengan lagu baru berjudul Goyang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
MUNCUL dengan lagu baru berjudul Goyang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin


TIGA tahun hidup bersendiri selepas bercerai adalah dugaan hebat buat penyanyi dan pelakon Ezlynn Ariffin.

Perlu mengatur semula perjalanan karier nyanyiannya, Ezlynn sangat bersyukur kerana mendapat kerjasama syarikat rakaman Warner Music.

Memiliki semangat kental untuk kerjaya seninya menyerlah semula, Ezlynn, 38, enggan berserah pada nasib.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang nyanyian masih ada sinarnya biarpun kini diurus sendiri. Terima kasih Warner Music kerana banyak membantu dan memberi peluang kepada saya. Saya tidak akan sia-siakan keyakinan diberi dan buktinya saya sudah pun muncul dengan lagu baru berjudul Goyang,” katanya.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin berkata, Goyang menampil­kan konsep muzik funk ska. Ia juga dipilih kerana sarat dengan mesej positif.

SELAIN menyanyi Ezlynn mahu aktifkan diri dengan berniaga. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SELAIN menyanyi Ezlynn mahu aktifkan diri dengan berniaga. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Ditanya mengenai cinta baru, Ezlynn berkata, selepas apa yang dilaluinya, dia kini sangat berhati-hati.

“Walaupun hidup sendirian ini kerap berasa sunyi, saya enggan terlalu melayani perasaan itu. Perasaan sunyi takkan saya jadikan alasan mudah untuk segera mencari pengganti pasangan baru.

“Prinsip utama saya sekarang mahu lebih berhati-hati dalam mencari pasangan dan soal cinta,” katanya.

Menurut Ezlynn, memori pedih dianiaya bekas suami masih tersimpan kemas dalam ingatan hingga kini.

Apapun untuk kehidupan baru diteruskan ini, misi utama adalah mengukuhkan semula kewangan.

Menurut Ezlynn, bagi mengukuhkan kewangannya selain menyanyi dia juga aktifkan diri dengan berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:30 AM