EZLYNN sedia buat ‘comeback’. FOTO Nik Hariff Hassan
EZLYNN sedia buat ‘comeback’. FOTO Nik Hariff Hassan
Ramlah Zainal


BUKAN mudah membuat kemunculan semula selepas sekian lama menyepi. Apatah lagi, penyanyi yang sudah lama tidak muncul dengan lagu baru untuk bersaing dengan bakat muda digelar Budak-Budak Baru Nak Up (BBBNU) yang menjadi kegilaan ramai mutakhir ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn bagaimanapun yakin lagu rancak berjudul Goyang mampu menarik perhatian peminat.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 38, berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk muncul dengan lagu rancak selepas sekian lama tidak merakamkan single baru seterusnya melakukan penjenamaan semula.

“Saya tidak mahu menghasilkan lagu sedih. Saya mahu lupakan kisah silam dan bina hidup baru.

“Single Goyang menggabungkan muzik rock, punk, ska dan sedikit melodi dangdut.

“Lagu ini mendapat sentuhan pasangan suami isteri, Farique Nadzir dan Adah Kahir,” katanya.

Mengulas lanjut imej barunya, Ezlynn tampil menggayakan rambut palsu pelbagai bentuk dan warna.

“Saya serius mahu buat ‘comeback’ dan sudah bersedia kembali aktif menyanyi.

“Bagi memastikan karier nyanyian berjalan lancar dan teratur, saya memilih bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia,” katanya.

Ezlynn juga sanggup memperuntukkan RM5,000 untuk membeli koleksi rambut palsu demi transformasi penampilannya.

KINI lebih selesa kehidupan solo. FOTO Nik Hariff Hassan
KINI lebih selesa kehidupan solo. FOTO Nik Hariff Hassan

“Setakat ini saya sudah ada 50 koleksi rambut pelbagai warna dan potongan untuk digayakan ketika membuat persembahan.

“Saya selesa menggayakan rambut palsu kerana ia tidak menyakitkan kulit kepala, sintetik dan boleh dipakai dalam tempoh agak lama,” katanya.

Mengenai sumber inspirasi pula, kata Ezlynn, dia menjadikan gaya bintang antarabangsa Nikki Minaj sebagai rujukan.

“Idea menggayakan rambut palsu tercetus ketika menjayakan sesi fotografi dan saya dikehendaki meniru gaya Nikki Minaj dan dipakaikan rambut palsu biru.

“Saya suka dengan hasilnya dan menjadikan imej gaya rambut penyanyi terkenal itu sebagai rujukan. Ia sesuai dengan imej baru saya yang ceria,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Goyang baru-baru ini.

Belum sedia cari pengganti

Selepas bercerai pada 2017, Ezlynn mengakui pintu hatinya belum terbuka untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hidupnya.

Menurut Ezlynn, dia masih dihantui memori silam yang menyukarkannya untuk mencari pengganti.

“Sepanjang 11 tahun hidup bersama dengan bekas suami, banyak kenangan yang kami lalui.

“Bukan semua kenangan itu pahit tetapi ada juga yang indah.

“Buat masa ini saya lebih selesa hidup solo dan fokus menyanyi,” katanya.

Mengulas gosip dia kini bercinta dengan jejaka keturunan Cina, Ezlynn berkata mereka sekadar berkawan.

“Kami memang berkawan tetapi dia bukan teman istimewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:31 AM