ALYAH gigih hadapi dunia seni. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
ALYAH gigih hadapi dunia seni. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Norhayati Nordin


TEMPOH 18 tahun kekal bertahan dalam karier nyanyian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi kerana perlu banyak pengorbanan dan berdepan jalan berliku.

Apatah lagi, pasang surut dalam karier seni lumrah yang perlu ditelan apabila seseorang penyanyi itu semakin meningkat usia.

Penyanyi berkaliber Datin Alyah, 37, mengakui dia kini perlu berusaha gigih untuk memastikan kariernya terus bertahan.

Malah, Alyah tanpa berselindung berkata dia bimbang memikirkan penerimaan pendengar terhadap lagu barunya.

“Saya seronok apabila dapat merakamkan lagu baru. Cuma risau apabila memikirkan sejauh mana karya baru itu akan diterima pendengar.

“Apakah masih ada orang mahu mendengar lagu saya? Bahkan, sejauh mana pula impak lagu itu dapat membantu saya untuk terus bertahan dalam bidang ini?

“Tidak dinafikan ramai beranggapan perjalanan karier saya pasti lebih mudah kerana bergelar isteri kepada konduktor muzik terkenal Datuk Ramli MS.

“Hakikatnya saya sama saja dengan penyanyi lain. Kena gigih berusaha dan tiada istilah jalan mudah,” katanya.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata beliau dan suami lebih selesa memilih membawa haluan masing-masing apabila menyentuh soal kerja.

“Ya, saya memang isteri Ramli MS tetapi itu biarlah di rumah. Ketika bekerja, kami bersikap profesional kerana menghormati karier masing-masing.

“Walaupun suami saya terkenal dalam bidang yang diceburinya, tidak wajar saya menjadikan kelebihan itu sebagai batu loncatan. Saya kena berusaha sendiri.

“Apatah lagi saya menceburi bidang nyanyian kerana minat. Selama ini pun, saya tidak pernah berhenti berusaha untuk membina nama sebagai penyanyi sehingga berada di tahap sekarang,” katanya.

Alyah yang popular dengan lagu Kisah Hati dan Sesal Separuh Nyawa bertemu jodoh dengan Ramli atau mesra disapa Tok Ram pada Mac 2013.

Mengimbas sejarah awal pembabitannya dalam karier seni, langkahnya bermula pada 2000 dan pernah dinobatkan juara Bintang HMI anjuran RTM pada tahun itu. Namun, kembara seninya agak berliku.

Cuma, tuah akhirnya berpihak kepada Alyah selepas muncul dengan lagu balada berjudul Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan lirik ditulis Habsah Hassan pada 2008.

Sehingga kini Alyah sudah menghasilkan tiga album studio solo termasuk pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cat pada 2006 dan muncul dengan album berjudul Fantastic.

ALYAH.
ALYAH.

Teruja Rancang Showcase Solo

Tatkala segelintir penyanyi baru sudah merasai peluang beraksi dalam ‘showcase’ solo, Alyah pula baru menyusun perancangan.

Menurut Alyah, dia perlu teliti selain giat mencari penaja yang berminat untuk bekerjasama merealisasikan impiannya itu.

“Sebenarnya selama 18 tahun aktif menyanyi, 11 tahun saya memacu karier secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak pengurusan.

“Keputusan itu saya ambil kerana mahu berdikari. Ternyata, bukan mudah kerana banyak juga kenangan pahit yang mesti ditelan. Bagaimanapun, pengalaman banyak mengajar dan mematangkan saya.

“Malah, sedar dengan senario perubahan industri hiburan masa kini membuatkan saya terfikir perlu menjalin kerjasama dua hala dengan syarikat rakaman.

“Jadi, sekarang adalah masa tepat untuk saya buat keputusan dan memilih bekerjasama dengan syarikat Warner Music yang menguruskan sepenuhnya karier nyanyian saya,” katanya.

Baru seminggu bernaung di bawah Warner Music, Alyah kini rancak mempromosikan single terbaru berjudul Jutaan Purnama ciptaan bersama Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

Bagaimanapun, kata Alyah bersama Warner Music dia mengatur perancangan penganjuran showcase solo pertama yang dijangka berlangsung pada Februari 2019.

Menurut Alyah lagi, dia enggan terburu-buru dalam merancang showcase solonya kerana mahu memberikan yang terbaik buat peminat yang menonton acara itu nanti.

Berbicara mengenai single Jutaan Purnama, Alyah bersyukur apabila ia menjadi lagu tema drama di kaca TV.

Ujarnya, jika tiada aral single Jutaan Purnama yang pernah menjadi lagu tema drama Red Velvet akan dipilih menjadi OST drama Seribu Rindu lakonan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz untuk slot Akasia di TV3 pada November nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 6:30 AM