Ezlynn bersama anggota Flop Poppy serta ‘inner monitor’ untuk artis-artis. FOTO IG Ezlynn/Flop Poppy
Ezlynn bersama anggota Flop Poppy serta ‘inner monitor’ untuk artis-artis. FOTO IG Ezlynn/Flop Poppy
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI dan pelakon Ezlynn, 36, mengakui tidak sabar kembali aktif dalam seni apabila sudah menyiapkan single terbarunya berjudul Goyang.

Ezlynn atau Azline Ariffin berkata, single itu dicipta oleh komposer Farique Nadzir dan lirik oleh isterinya yang bernama Adah.

“Farique adalah abang kepada penyanyi Dina Nadzir dan ciptaannya menepati citarasa saya. Apabila single ini siap, saya cari pengedar dan apabila berjumpa pengurusan Warner Music Malaysia, mereka berminat dan melahirkan hasrat untuk menguruskan saya sepenuhnya.

“Ini satu rezeki dan saya bersetuju untuk jadi artis dibawah naungan mereka sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ezlynn, lirik Goyang menyentuh mengenai sosial masyarakat dan menekankan mengenai keharmonian dalam hidup.

“Ia membawa kita semua tiada bergaduh, hidup dalam suasana tenang serta berada dalam dunia yang aman.

“Konsepnya muziknya fun ska yang ada konsep ska tapi temponya rancak seperti jiwa saya. Sememangnya saya serasi dengan konsep begini,” katanya.

Mengulas kehidupan terkininya, Ezlynn yang sudah bercerai dengan bekas suami, Adam Fahmy pada Oktober tahun lalu menjelaskan tiada apa-apa yang perlu diulas kecuali mereka dalam proses naik turun mahkamah untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta.

“Yang mana hak saya, memang akan dituntut. Bekas suami pun berikan kerjasama. Kami hadir ke mahkamah untuk selesaikan urusan berbangkit dan tak pernah berbual,” katanya ditemui pada konsert Rona Bunyi Flop Poppy Rest Of My Life pada Sabtu lalu.

Bercerita soal kehidupannya, Ezlynn berkata, ia berjalan seperti biasa.

Dia mengakui sering turun padang ke konsert dan pelbagai acara hiburan kerana mempunyai perniagaan berkaitan bidang seni.

“Saya tak perlu risau dengan tanggapan orang kerana ini adalah kerja. Saya menjual dan membekalkan ‘inner monitor’ (alat bantuan bunyi) untuk artis-artis termasuklah yang digunakan oleh anggota Flop Poppy untuk showcase mereka.

“Saya mempunyai syarikat ezd_acoustic_my yang dikongsi bersama seorang rakan. Ramai artis-artis yang sudah menggunakan produk ini antaranya Ujang Exist, Zizi Kirana dan ramai lagi.

“Daripada segi lain pun, ramai kawan-kawan memberikan semangat untuk saya keluar sibukkan diri dan buat apa yang boleh memberikan kebaikan buat saya,” katanya mahu meneruskan karier nyanyian dan bergelar ahli perniagaan berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 7:48 PM