ELYANA mengharapkan doa daripada peminat dan orang sekeliling yang menyayangi dirinya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ELYANA mengharapkan doa daripada peminat dan orang sekeliling yang menyayangi dirinya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Elyana yang bakal mengadakan konsert Elyana Jadi Diriku 19 'Live in Concert' pada 6 Julai ini di Bentley Music Auditorium, Damansara mengakui takut jika penyakitnya menyerang kembali.

Elyana, 32, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal yang menghidap kanser kelenjar tahap empat berkata, keadaan kesihatannya kembali stabil selepas dia menjalani rawatan radioterapi.

Malah, disebabkan penyakit itu juga daya ingatannya semakin merosot.

"Saya paling takut apabila sakit kerana ia boleh menyerang tak kira waktu dan hari. Bila-bila saja ia boleh datang. Sebab, konsert ini adalah impian besar saya. Ini mungkin menjadi yang pertama dan terakhir buat saya.

"Kalau boleh nak letakkan sesuatu yang paling terbaik dan penonton yang hadir menyaksikan konsert ini akan ingat sampai bila-bila.

“Paling takut juga, sekarang ini ingatan tak sekuat dulu. Jadi, kadang-kadang banyak perkara saya lupa. Dalam nyanyian pula, saya kena hafal lirik dan dengar semula lagi setiap hari. Tidak dilupa, stamina juga penting," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Elyana yang popular menerusi lagu Tak Tercapai Akalmu mengharapkan doa daripada peminat dan orang sekeliling yang menyayangi dirinya.

"Moga kesihatan, tenaga dan apa saya impikan tercapai pada hari itu. Saya mengharapkan doa daripada semua peminat dan orang sekeliling yang sayangkan saya," katanya.

Elyana juga mengakui dia perlu bekerja keras dari segi nyanyian, ingatan lirik dan stamina.

"Hampir kesemua lagu saya liriknya sangat mendalam. Kebanyakan lagu saya ditulis AD Samad dan Allahyarham Loloq. Semua tahu penulisan lirik mereka sangat mahal dan bukan menggunakan ayat biasa.

"Untuk saya mengingati semua lagu, agak susah sikit. Jadi, kena bekerja keras dari segi nyanyian, ingatan lirik dan stamina. Saya juga masih memikirkan elemen menarik untuk ditampilkan pada konsert nanti," katanya.

Ditanya mengenai penjualan tiket, Elyana yang juga pelakon filem Dukun berkata, tiket masih boleh didapati di Shoppee.

"Alhamdulillah, penjualan tiket berjalan lancar. Tapi mungkin masih ramai lagi yang belum dapatkan sebab sibuk berpuasa dan nak menyambut raya.

"Apa saya mahu sampaikan, tiket awal masih ada dan tinggal sikit saja. Kepada yang nak sangat datang konsert saya, boleh dapatkan di Shoppee," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:20 PM