ALLSTAR Band dianggotai (dari kiri) Eddie Wings, Umarul Iklim, Black Wings, Oney dan Omma Akira. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
ALLSTAR Band dianggotai (dari kiri) Eddie Wings, Umarul Iklim, Black Wings, Oney dan Omma Akira. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Ridzuan Abdul Rahman


NAMA kumpulan Allstar Band barangkali kedengaran agak asing dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Bagaimanapun, apabila disebut nama anggota kumpulan ini, pasti ada yang teruja kerana mereka sudah berpengalaman luas di arena seni dan bukan calang-calang pemuzik.

Siapa yang tidak kenal pemain bass, Eddie dan Black (dram) yang mencipta nama bersama Wings, Umarul (gitar) bersama Iklim, Oney (penyanyi) bersama Lipan Bara serta pernah menyertai MAY dan Jump-P serta Omma Akira (gitar) yang pernah menganggotai kumpulan Laksamana.

Gabungan inilah yang membentuk band projek khas ini. Baru ditubuhkan sejak dua bulan lalu oleh Omma, Allstar Band mula mendekati peminat menerusi sesi persembahan bergerak di pelbagai lokasi dan paling terdekat di Festival Pantai Timur di Dataran MITC Melaka, esok.

“Allstar Band masih baru tapi sudah lama kenal dalam industri muzik. Atas inisiatif saya yang berminat nak buat satu projek khas, maka wujudlah kumpulan ini.

“Pakej kami serba lengkap kerana Eddie sebagai pemain bass, Black (drum), Oney (penyanyi), Umarul (gitar) dan saya sendiri (gitar).

“Matlamat Allstar Band adalah sama dengan kumpulan lain iaitu memeriahkan industri muzik. Selain itu, kami juga ada projek untuk buat lagu baru,” kata Omma.

Mengikut perancangan, EP yang mengandungi enam lagu ini akan dikeluarkan selepas Aidilftri tahun ini.

“Insya-Allah jika tiada halangan, album ini akan dirakam di studio Luncai Emas. Selepas selesai konsert di Melaka, kami akan mula masuk studio.

“Kami ada Facebook sendiri iaitu Allstars Band dan dari situlah kami berinteraksi dengan peminat. Penerimaan mereka serta rakan pemuzik sendiri amat baik.

“Nama Allstar Band dicetuskan oleh Oney. Apabila dia beritahu rakan yang dia terbabit dengan projek band ini, mereka kata semua pemuzik ini star (bintang). Dari situ terhasil idea nama ini untuk kumpulan kami,” katanya.

Oney pula teruja dapat menyertai kumpulan yang dianggotai pemuzik hebat ini. “Ikutkan sepanjang karier, saya tak pernah menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir. Tapi untuk kumpulan ini, beliau sudi menyumbangkan dua lagu.

“Memang teruja kerana setiap penyanyi apabila dapat menyanyikan lagu M Nasir, baru lengkap profil mereka. Mengenai konsert, saya akan berikan yang terbaik kerana agak lama tak ber­aksi dalam konsert besar. Sebelum ini saya banyak terbabit di belakang tabir sebagai penyanyi latar untuk Datuk Awie,” katanya.

Sementara itu, Allstar Band kini giat menjalani latihan di studio sebagai persediaan untuk beraksi di depan peminat di Melaka. “Konsert ini diadakan secara percuma kepada peminat. Walaupun tanpa dikenakan bayaran, kami tetap akan menampilkan persembahan terbaik supaya peminat puas hati.

“Mengikut perancangan, kami akan tampil dengan 15 lagu ‘cover version’ termasuk lagu baru berjudul Perjuangan. Masing-masing ada lagu bersama kumpulan sendiri dan lagu inilah yang akan dinyanyikan.

“Syukur kami dapat peluang besar ini. Ia diperoleh daripada rangkaian hubungan kami yang sudah lama dalam bidang seni,” kata Omma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 4:30 AM