ARMADA Band meraih populariti meluas.
ARMADA Band meraih populariti meluas.
Syafil Syazwan Jefri


Band dari Indonesia, Armada Band meraih populariti meluas dengan lagu hit mereka, Hargai Aku, Awas Jatuh Cinta, Asal Kau Bahagia dan banyak lagi.

Baru-baru ini, mereka mengukuhkan lagi keberadaan mereka di Kuala Lumpur dengan konsert sulung yang lama dinanti-nantikan oleh peminat setia mereka, Konsert Armada First Encounter di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert Armada First Encounter pada penghujung Oktober lalu mencipta gelombang dalam dunia muzik, memukau ribuan peminat di Malaysia serta menyampaikan persembahan yang penuh semangat dan mengusik perasaan.

Berkesempatan bertemu dan mewawancara band yang dianggotai Rizal (penyanyi), Andit (gitar) dan Mai (dram) ini, mereka berkongsi penerimaan dan rasa cinta peminat Malaysia terhadap karya mereka.

"Ini adalah konsert pertama kami di Malaysia dan kami sudah sajikan persembahan terbaik buat peminat di sini. Ada lagu yang kami bawakan popular di sini, tetapi tidak di Indonesia. Jadi, kami sesuaikan dengan selera peminat di sini," kata Rizal.

Mengangkat lagu 'galau' (patah hati) dalam deretan karya mereka, Armada Band tidak menafikan bahawa lagu mereka lebih popular jika dibandingkan dengan nama mereka sendiri.

"Kami tak nafikan, lagu kami lebih dikenali di Malaysia berbanding nama kami. Memang itu hakikatnya. Tak mengapa, asalkan lagu kami diterima," katanya.

Ditanya mengenai impian mereka untuk membuka lebih banyak peluang diterima masyarakat Malaysia, Rizal dan rakan-rakannya berkongsi rasa cinta mereka kepada lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Impian kami adalah untuk merakamkan semula lagu P Ramlee. Ada beberapa lagu bintang legenda itu yang mencuri perhatian kami," katanya.

Berhubung mengenai kolaborasi antara mereka dengan artis Malaysia, mereka sentiasa terbuka untuk mencuba perkara baharu.

"Kami sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan artis Malaysia. Kalau diikutkan, banyak nama yang bermain dalam fikiran kami," katanya.

Konsert Armada First Encounter dibawakan oleh SK One Ventures Sdn Bhd dan berjaya mengumpul ribuan peminat Armada di ruang acara konsert itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 6:46 AM