MAEL berusaha memberikan yang terbaik.
MAEL berusaha memberikan yang terbaik.
XPDC yang diketuai Izo (dua dari kiri) kini tampil berjubah.
XPDC yang diketuai Izo (dua dari kiri) kini tampil berjubah.
MUS
MUS
Riadz Radzi


Bagi peminat band heavy metal popular XPDC, semua sudah tahu band ini ‘terpecah’ dua.

XPDC yang diketuai Izo (gitar), Ali (penyanyi), Lola (dram), Eddie (bass) dan Arif (gitar) dikatakan ‘bersengketa’ dengan satu lagi XPDC yang dibarisi Mael (penyanyi), Zuar (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar) kerana masing-masing mendakwa berhak membawa nama XPDC.

Namun, siapa sangka kedua-dua band ini dipertemukan dalam satu pentas di Konsert MAY VS XPDC - Rentap Kasi Sentap di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Kumpulan rock popular MAY turut memeriahkan konsert berkenaan yang dihadiri lebih 3,000 penonton.

Apa yang pasti, apabila kedua-duanya mengadakan persembahan di pentas yang sama, perkara yang tidak dapat dielakkan tentunya perbandingan.

Siapa yang lebih bagus?

XPDC yang diketuai Izo tampil sebagai band pertama pada malam itu. Apa yang menarik mereka kini tampil berbeza iaitu lebih Islamik.

Selain masing-masing mengenakan jubah, Ali selaku penyanyi kerap menyelitkan kata-kata nasihat dan sedikit tazkirah buat penonton.

“Rock, rock juga, tapi solat jangan tinggalkan.”

Itu antara kata-kata Ali di atas pentas, sekali gus membuatkan peminat lebih menghormati mereka.

Tidak seperti zaman kegemilangan mereka pada tahun 1990-an, Ali tidak lagi melakukan ‘headbangin’ sebaliknya lebih selesa dengan persembahan santai dan sedikit rileks, tetapi vokalnya tetap mantap.

Memulakan persembahan dengan lagu Ulat & Kulat, King El Mondoque dan medley Talam Dua Muka, Selendang Merdeka dan Kita Peng Yu, XPDC berjaya menghangatkan penonton.

Izo selaku ‘mastermind’ XPDC sejak awal penubuhan mereka cukup hebat dengan ‘riff-riff’ padu XPDC. Kali ini dia bergabung bersama Arif, pemain gita Payslip yang juga anaknya.

Mereka seterusnya membawakan lagu-lagu popular XPDC seperti Sakinah, Teman, Jangan Jadi Soh Chai, Bagaikan Samurai, Semangat Perjuangan Harmoni dan Semangat Yang Hilang.

Selain itu, mereka turut membawakan medley lagu-lagu Metallica yang menjadi inspirasi selama ini seperti Harvester Of Sorrow, Master Of Puppets, Seek & Destroy dan Creeping Death.

Mael sedikit gugup

Kemunculan Mael yang juga penyanyi asal XPDC sememangnya dinanti-nantikan peminat.

Tidak dinafikan XPDC yang dianggotai Mael, Zuar, Amy dan Jeff paling dinanti-nantikan malam itu berikutan kebanyakan penonton yang hadir lebih teruja menyaksikan persembahan Mael.

Lebih-lebih lagi sebelum ini Mael dihujani kontroversi termasuk didakwa di mahkamah atas kesalahan dadah.

Bagaimanapun, ketika awal persembahan Mael kelihatan agak gugup dan berhempas-pulas ketika membawakan empat lagu terawal iaitu Kabus Semalam, John Jenin, Talam Dua Muka dan Ntahapahapatah.

Malah, dia juga dilihat seperti ‘kurang selesa’ hingga mengganggu caranya berkomunikasi dengan penonton.

Namun, selaku penyanyi berpengalaman, Mael turut berusaha keras memberikan yang terbaik buat peminatnya.

Hasilnya, ketika menyampaikan lagu kelima, Hidup Bersama dan Aku Masih Di Sini, Mael mula mendapat rentak.

Walaupun kemampuannya tidak sehebat ketika dia bersama XPDC pada era 1980-an dan 1990-an, persembahan Mael masih boleh dibanggakan.

Mereka seterusnya membawakan lagu-lagu popular XPDC seperti Hijau Bumi Tuhan, Senapang Patah, Titian Perjalanan, Selendang Merdeka, Kita Peng Yu, Hamba Abdi, Semangat Yang Hilang dan Aku Takkan Bising.

MAY paling mantap

Dalam konsert ini, pujian patut diberikan kepada MAY yang dilihat lebih mantap selain berpengalaman luas.

MAY yang dianggotai Mus (penyanyi), Abu (gitar), Yus (bass) dan Man (dram) berjaya membuktikan mereka antara band rock yang perlu dihormati.

Mus cukup hebat dengan lagu-lagu bernada tinggi selain gabungan muzik mantap daripada ketiga-tiga pemuziknya.

Walaupun hanya ‘three piece band’, tetapi muzik MAY tetap padat seperti ketika mereka memulakan persembahan dengan lagu-lagu Hakikat Perjuangan, Strategi dan Jiwa Karat.

Seterusnya MAY mendendangkan empat lagu yang cukup dekat dengan peminat mereka iaitu Dari Kacamata, Ku Dalam Dilema, Pelayaran, Cintamu Mekar Di Hati dan Derita Bangsa.

Tunjang MAY tentunya Mus yang seperti tidak dimamah usia. Vokalnya terus mantap dan lagu-lagu bernada tinggi serta jeritan adalan ‘makanannya’.

Selain itu, MAY turut menjemput penyanyi yang pernah bersama mereka iaitu Oney membawakan lagu Siapa Kau dan Jemu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 10:45 AM