SENTUHAN Yem Bai tetap berbisa walaupun lama tak beraksi. -FOTO: Eizairi Shamsudin
SENTUHAN Yem Bai tetap berbisa walaupun lama tak beraksi. -FOTO: Eizairi Shamsudin
Ridzuan Abdul Rahman

“KADANG-KADANG kita tanya Budak-budak Baru Nak Up (BBNU) berapa lagu yang dinyanyikan, jawapan mereka dua atau tiga lagu.

“Cubalah menyanyi dua jam menjerit macam ini, baru tahu bagaimana rasanya,” inilah dialog yang dilontarkan Joey, penyanyi kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) ketika beraksi dalam Konsert Silaturahim Bumiputra Rockers yang berlangsung di 11LA (The House), G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mungkin kata-kata ini kedengaran agak skeptikal, namun realitinya apa yang diperkatakan ada kebenarannya.

Bukan mudah untuk kumpulan yang dianggotai pemuzik berusia lebih 50 tahun ini beraksi mantap selama lebih dua jam, tetapi mereka berjaya membuktikan pengalaman yang ada mampu mengatasi segala-galanya.

Kumpulan yang dianggotai Joey, 56, (penyanyi), Awang, 55, (gitar), Yem Bai, 53, (bass), Enal, 58, (dram) dan pemain gitar undangan, Helda, 28, ini masih berbisa apabila berjaya memberikan persembahan yang menghiburkan lebih 350 peminat yang hadir.

SUASANA terus hangat dengan lagu Dari Sinar Mata, Pudar Seri Primadona dan lagu It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi. -FOTO: Eizairi Shamsudin
SUASANA terus hangat dengan lagu Dari Sinar Mata, Pudar Seri Primadona dan lagu It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi. -FOTO: Eizairi Shamsudin

Peminat setia BPR hadir seawal jam 8 malam untuk menikmati persembahan kumpulan yang popular pada 1980-an dan pertengahan 1990-an ini.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu jam 10 malam untuk menyaksikan kelibat BPR tampil di atas pentas menerusi lagu pembukaan Rock Like A Hurricane nyanyian asal Scorpions.

“Ia bukan sekadar konsert, tetapi lebih menjadi agenda pengukuh silaturahim yang terjalin antara kita,” kata Joey sebelum menyanyikan lagu ini.

Selepas itu persembahan diteruskan dengan lagu Dajal dan Maghrib yang menjadi antara koleksi lagu popular BPR suatu ketika dulu.

Tidak keterlaluan dikatakan BPR lahir dengan pakej lengkap pada zamannya kerana album mereka menampilkan lagu yang menarik didengar serta mengandungi mesej mendalam.

BPR turut melakukan susunan muzik baru untuk beberapa lagu bagi disesuaikan dengan Helda.

Bekas pemain gitar kumpulan Butterfly ini bersama mewujudkan satu gandingan yang baik dengan Awang serta pemuzik lain.

Menerusi lagu 1511, Helda diberikan ruang untuk berehat. Menariknya Joey mengadakan persembahan dalam bentuk cerita apabila menyelitkan kisah di sebalik lagunya.

Sebuah lagi lagu popular mereka, Selamat Pagi Malaysia ditampilkan selepas itu dan seterusnya diikuti sebuah lagi lagu saduran berjudul Jump nyanyian asal Van Halen.

BPR turut mengambil kesempatan melancarkan kelab peminat mereka yang sudah mencecah lebih 3,000 ahli .

Mereka adalah kumpulan rock pertama memperkenalkan produk Kelab Peminat terbaru berupa Gold Bar yang mencatat nama dalam Malaysia Book of Records.

Joey kemudian menyambung persembahan dengan lagu Silaturahim, Airmata Jernih dan Sudah Sampai Sini.

“Pada kami BPR adalah anda dan anda adalah BPR. Sebenarnya kami tak menyangka boleh pergi sejauh ini, walhal pada awal permulaan kami bermain muzik hanyalah untuk suka-suka saja,” katanya.

KONSERT Silaturahim oleh kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR) di House, G Tower.
KONSERT Silaturahim oleh kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR) di House, G Tower.

Turut hadir menyaksikan persembahan mereka ialah Datuk Ramli Sarip yang juga individu yang bertanggungjawab mencetuskan nama Bumiputra Rockers.

Suasana terus hangat dengan lagu Dari Sinar Mata, Pudar Seri Primadona dan lagu It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi.

Lagu Harum Subur Di Hati menjadi pilihan seterusnya dan peminat turut sama menyanyi. Diikuti selepas itu dengan lagu The Trooper nyanyian asal Iron Maiden.

Lagu hit Aku Hanya Serangga berjaya mengembalikan nostalgia populariti BPR kepada peminat.

Seterusnya Joey menyanyikan lagu Barah Berbisa sebelum persembahan diakhiri dengan lagu Seribu Tahun Takan Mungkin.

“Saya minta maaf tak dapat kotakan kata-kata nak menyanyikan 20 lagu. Saya terpaksa potong satu lagu kerana Enal sudah mengah dan bagi isyarat tak dapat meneruskan persembahan,” katanya.

Menerusi konsert ini juga, BPR turut menyampaikan sumbangan buat Yazit Search dan anaknya. Ia adalah wang yang dikumpul hasil sumbangan kelab peminat mereka.

Joey berkata, mereka tetap berpuas hati dengan kehadiran peminat dan sudah memberikan persembahan yang terbaik.

PENYANYI Ramli Sarip turut hadir memberi sokongan di House, G Tower.
PENYANYI Ramli Sarip turut hadir memberi sokongan di House, G Tower.

“Kami gembira apabila Datuk Ramli Sarip datang menyokong. Cuma Datuk M Nasir tak dapat hadir kerana berada di Singapura. Sistem bunyi juga baik dan peminat tunggu sampai habis persembahan. Untuk projek ini, dikira tak merugaikan kerana kami ada gaji dan penganjur balik modal.

“Apa yang dilakukan ibarat pembuka jalan. Sekarang sudah banyak penganjur gergasi seperti Afjets mula berminat. Kami tunggu mereka susun konsert seterusnya. Kalau tak jadi, kami jalan sendiri pun okey,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 5:30 AM