Ridzuan Abdul Rahman

"Saya dah tak larat. Saya cakap dengan Awang, kau carilah penyanyi di Johor senang untuk praktis dan sebagainya.

"Sebabnya saya nak turun (pergi) macam show terakhir dulu di sana, dapat bayaran hanya RM2,000 tapi kereta saya rosak kena baiki dengan kos RM3,800, belum termasuk lagi kos hotel dan lain-lain."

Demikian kata penyanyi kumpulan rock BumiPutra Rockers (BPR), Joey, mengulas ketiadaannya dalam Konsert 1511 BPR yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 3 Mac ini.

Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi berkata, mengenangkan hasilnya tidak berbaloi, dia mengambil keputusan menolak tawaran ini.

"Fasalnya BPR dah buat banyak show pun tak berjaya tarik ramai peminat. Suasana genre rock sebenarnya dah hambar. Kalau tengok, yang lain pun sama juga.

"Contohnya Lefthanded, Search pun tak berapa sangat sambutan peminat. Nampak macam gah tapi duit sebenarnya tiada. Banyak show yang 'cover up' konon ramai tapi tiket tak terjual sangat.

JOEY tak minat cari show.
JOEY tak minat cari show.

"Apapun tak kisahlah mereka nak bergerak sendiri asal jalan sudah. Saya dah cakap dengan mereka, boleh saja kalau nak jalan sendiri. Saya tak kacau mereka, mereka tak kacau saya," katanya.

Joey yang mencipta nama dengan BPR pada era 1990-an berkata, dia kini terpaksa melakukan perkara lain untuk mencari wang.

"Saya pun jarang keluar. Zaman sekarang kalau keluar sahaja mesti habis banyak duit. Sebelum ini pun ramai yang panggil BPR untuk show tapi bayar murah.

"Jadi saya dah malas. Show banyak tak jadi, band lain potong jalan dan macam-macam lagi yang berlaku. Jadi saya dah tak boleh berpaut dengan benda ini.

"Berkenaan penggunaan nama, memang saya kekal dengan nama Joey BPR sebab saya yang menyanyi. Lagipun orang yang panggil saya dengan nama ini," katanya.

Joey berkata, dia juga tidak berminat mencari show dan hanya akan menerimanya apabila ditawarkan.

"Saya dah tak aktif macam dulu dan tak pernah terfikir nak buat band BPR 2. Saya tiada perancangan buat solo kerana penat nak mulakan dari awal," katanya.

Terdahulu, pemain gitar BPR, Awang memaklumkan Joey tidak bersama mereka dalam konsert yang akan berlangsung di Roof Top City Plaza, Johor Bahru ini dan tempatnya digantikan oleh Kudien Rafee, pemenang kategori rock program Tiga Juara TV3 pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:40 AM