Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT dan pelakon Sheila Rusly tidak dapat menahan emosi hingga menangis apabila ditanya mengenai hubungannya dengan pelakon popular Janna Nick.

Sheila ketika ditemui berkata, dia sudah memaafkan Janna selepas pelakon itu menghantar mesej meminta maaf.

“Saya rasa dia pun tahu apa kesalahannya. Dia pun menyesal atas perbuatannya. Saya terima maafnya. Sebagai manusia, kita harus memaafkan mereka yang seikhlas hati meminta maaf.

“Saya sayang dia sebenarnya, tapi terlalu peribadi untuk saya kongsi. Kalau saya tak sayang, dia takkan berada di mana dia berada sekarang,” katanya dalam nada sebak sebelum menangis.

Bagaimanapun, Sheila masih sukar untuk terima perbuatan Janna terhadap diri dan keluarganya.

Dalam masa sama, Sheila tetap enggan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku di antara dia dengan pelakon drama Leftenan Zana itu.

“Saya tidak mahu orang ingat saya menangis sebab berlakon. Dia sudah selesa di tempatnya. Saya rasa kepaknya sudah kembang dengan besar dan luasnya untuk dia terbang jauh. Saya bersama suami dan anak-anak akan sentiasa mendoakan kejayaannya. Saya masih belum hadam apa yang dia buat pada keluarga, tapi saya sudah maafkannya.

“Untuk kembali seperti dulu, susah untuk saya hadam apa yang dia buat. Itu saja saya boleh cakap,” katanya.

SHEILA masih sukar untuk terima perbuatan Janna terhadap diri dan keluarganya.
SHEILA masih sukar untuk terima perbuatan Janna terhadap diri dan keluarganya.

Sheila yang dilantik menjadi Ikon Ariani bersempena pertunjukan fesyen koleksi Floraya Ariani RTW juga berpesan supaya Janna sentiasa ikhlas dan jujur dengan apa dibuat.

“Saya bahasakan diri Mama dengan dia. Apa saya nak cakap, mama sudah maafkan Janna. Tapi tidak mengapa, manusia memang akan membuat kesilapan.

“Kadang-kadang kita akan berada di satu fasa di mana kita lupa di mana bermula. Tapi okey, dia masih muda. Perjalanan kerjayanya masih jauh lagi.

“Apa yang dia buat pada saya dan keluarga, ambil iktibar. Pesan saya, jadilah artis yang membanggakan pengikut dan fokus dengan apa saja dia nak buat. Sentiasa ikhlas dan jujur terhadap apa dibuat. Saya akan sentiasa mendoakan kejayaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 12:09 PM