AHMAD Dhani (dua dari kiri) bersama anggota Dewa 19. FOTO Cak Frog & Fraudy Yunanto
AHMAD Dhani (dua dari kiri) bersama anggota Dewa 19. FOTO Cak Frog & Fraudy Yunanto
Norhayati Nordin


KUMPULAN terkenal Indonesia, Dewa 19 mengumumkan kemunculan anak ketiga Ahmad Dhani iaitu Dul Jealani, 19, pada Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia feat Ari Lasso dan Once Mekel esok.

Dul Jaelani akan muncul mewakili Ahmad Dhani yang tidak dapat menyertai konsert reunion Dewa 19 itu yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Pengumuman kemunculan Dul dimaklumkan Dewa 19 kepada peminat tegar mereka di negara ini menerusi entri dimuat naik di Instagram (IG) kumpulan itu.

"Baladewa Malaysia, here it is (ini dia) Abdul Qadir Jaelani (Dul Jaelani) on keyboard (selaku pemain keyboard)," tulisnya.

Perkongsian entri itu bagaimanapun, mendapat lebih 4.000 'likes' dalam kalangan pengikut kumpulan Dewa 19.

Terdahulu, Ahmad Dhani yang juga ketua kumpulan Dewa 19 merangkap pemain keyboard dan penyanyi tidak dapat menyertai konsert reunion di Malaysia kerana dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Negeri Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Sementara itu Dul dalam perkongsian di IG miliknya dua hari lalu memberitahu, dia akan muncul menggantikan posisi bapanya.

DUL Jealani ganti Dhani untuk bermain keyboard dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia. FOTO Instagram Dewa 19
DUL Jealani ganti Dhani untuk bermain keyboard dalam Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia. FOTO Instagram Dewa 19

Tulisya, nuwun sewu (terima kasih) ya ayah @ahmaddhaniofficial permisi (maafkan saya).

"Dan makasih (terima kasih) juga untuk Dewa 19 yang sudah mengizinkan saya untuk menggantikan posisi ayah di Malaysia.

"Mohon bantu doa ya guys, semoga aku mampu. Amin," katanya.

Menerusi entri itu, lebih 52.000 'likes' diterima Dul dengan lebih 3,000 komen berbaur kata-kata semangat diberikan pengikutnya.

Rata-rata komen ditulis, mendoakan Dul dapat membuat persembahan terbaik dan tidak mengecewakan bapanya serta Dewa 19.

Menerusi IG band Dewa 19 pula, peminat diingatkan mengenai kemunculan Dul dalam konsert itu nanti.

Kumpulan legenda Dewa 19 dianggotai Dhani, Once (penyanyi), Ari Lasso (penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Yuke Sampurna (bass), Tyo Nugros (dram) dan Agung Yudha (dram).

Konsert istimewa Dewa 19 di negara itu dibawakan oleh penganjur Nizra Production.

Sementara itu, Harian Metro juga mendapatkan pengesahan daripada penganjur mengenai kemunculan Dul sebagai mewakili bapanya.

Pihak penganjur nyata berbesar hati dengan kemunculan Dul pada konsert reunion itu dan berharap peminat baladewa Malaysia tidak kecewa dengan ketiadaan Ahmad Dhani.

Berita berkaitan'Konsert Dewa 19 tetap jadi Sabtu ini'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 5:47 PM