TWENTY2. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
TWENTY2. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ardini Sophia Sina

Lagu sulung Twenty2 berjudul Selamanya dimuat naik di YouTube sejak April tahun lalu. Walaupun kumpulan yang dianggotai tiga anak muda itu masih baru, video klip naskhah berkenaan ditonton lebih sejuta kali.

Berdasarkan komen yang ditinggalkan pada video klip berkenaan, ramai menyamakan mereka dengan KRU kerana konsep dan ‘bunyi’ muzik yang seakan-akan seperti kumpulan trio yang pernah menggegarkan tanah air dengan kredibiliti dan aura mereka sebagai penyanyi.

Dianggotai Eizad Jeffrey, Harris Yusof dan Justin Persie, mereka bagaimanapun tidak terfikir untuk menjadi KRU kedua. Mereka percaya, Twenty2 mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

Pun begitu, kata Eizad, mereka terharu dengan maklum balas memberangsangkan yang ditinggalkan di ruangan komen video klip Selamanya. Malah, Eizad mengakui KRU adalah salah satu idola mereka bertiga.

“Menyamakan kami dengan KRU adalah satu perkara besar. Kami masih baru. Mana mungkin sama dengan KRU yang gah dalam industri. Malah, sehingga ke hari ini orang masih dengar lagu mereka.

“Mungkin mereka samakan Twenty2 dengan KRU kerana mempunyai jumlah anggota yang sama. Cuma bezanya, kami bukan adik-beradik, malah berasal dari negeri yang berbeza.

“Kami hanya ingin berkarya dan bukan menjadi pengganti KRU yang sudah dibubarkan. Bagaimanapun, kami ingin meminjam semangat mereka yang tidak pernah gentar dan putus asa untuk berjaya,” katanya.

Terus bercerita mengenai perjalanan mereka bergelar penyanyi di bawah naungan Rusa Music, kata Harris, ia tidak semudah yang disangka. Bakat mereka bukanlah disedari kerana status sebagai Instafamous, tetapi menerusi uji bakat yang dianjurkan.

Kata Harris, mereka perlu melakukan beberapa ujian terlebih dahulu sebelum bergelar penyanyi. Selepas pihak Rusa Music berpuas hati, barulah mereka ke pejabat untuk menandatangani kontrak.

“Sukar untuk menyerlah kerana kami bukanlah golongan Instafamous yang punya ratusan ribu pengikut di laman sosial. Bagaimanapun, itu cabaran yang perlu kami hadapi. Suatu hari nanti, apabila kami berada di atas, pastinya kami tidak akan melupakan awal perkembangan kerjaya kami.

“Ada beberapa tugasan diberikan Rusa Music yang perlu kami sempurnakan. Kami sendiri tidak sangka terpilih bernaung di bawah syarikat itu, apatah lagi digabungkan menjadi sebuah kumpulan.

“Kami menjalani uji bakat secara berasingan. Memang terkejut apabila dimaklumkan kami akan bergabung, apatah lagi kami sebenarnya tidak mengenali satu sama lain,” katanya.

Kata Harris lagi, selepas dijelaskan hala tuju dan sebab pihak syarikat membuat percaturan seperti itu, mereka mulai faham dan menerima dengan hati terbuka. Malah, mereka tidak mengambil masa lama menjadi kawan rapat.

Tidak hanya disamakan dengan KRU, Twenty2 juga dikatakan meniru konsep yang diketengahkan kumpulan K-pop. Bagaimanapun, mereka menyangkal dakwaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:00 PM