ELIA tegas dalam membina empayar perniagaan.
ELIA tegas dalam membina empayar perniagaan.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
ANTARA pakaian yang boleh didapati di butik Twenty2.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Tutur bicaranya lembut, namun dalam kelembutan terkandung ketegasan yang mampu melonjakkan diri ke tahap kejayaan lebih tinggi dalam hidup pada usia yang masih muda.

Bukan sekadar suka-suka, langkahnya di bidang perniagaan mempunyai matlamat lebih besar untuk memeriahkan industri fesyen di negara ini, sekali gus menawarkan pakaian sopan yang eksklusif pada harga mampu milik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Twenty2 Elia Izzati Zulhisham, 27, minat mendalamnya pada perniagaan pakaian mendorongnya untuk serius dalam bidang itu sejak hampir tiga tahun lalu.

Apatah lagi atas dorongan kuat ayahnya, Zulhisyam Ayob yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pemasaran, membulatkan tekad Elia Izzati untuk membina empayar perniagaan sendiri.

Bermula dengan perniagaan secara dalam talian, ia mendapat sambutan memberangsangkan hingga kini memiliki butik fizikal berkeluasan kira-kira 5,000 kaki persegi di kawasan elit Bangsar yang menjadi tumpuan peminat fesyen terkini.

"Saya gembira dan bersyukur apabila impian untuk melihat butik ini beroperasi menjadi kenyataan. Dorongan daripada ibu bapa banyak menguatkan semangat saya untuk sampai ke tahap ini.

"Ibu saya sering berpesan dan saya semat dalam diri saya pesanannya itu. Katanya, apabila kita melakukan perkara yang kita suka, kita seolah-olah tidak seperti bekerja pun.

"Dalam mencapai impian, ia memerlukan usaha keras selain sentiasa percaya bahawa setiap rezeki datang daripada Allah," kata graduan perniagaan dan kewangan dari Manchester, United Kingdom.

Menurutnya, memandangkan persaingan tinggi dalam dunia fesyen wanita, ia membuatkan dia lebih tabah dan bersemangat menghadapi sebarang cabaran.

Namun katanya, apa yang membezakan Twenty2 dengan butik lain apabila ia memiliki konsep dan keistimewaan tersendiri dalam mengetengahkan pakaian bercirikan sopan yang eksklusif buat mereka yang bijak menilai fesyen.

"Apa yang paling dititikberatkan adalah kualiti produk berkenaan tidak kira sama ada ia jenama besar ataupun baru meningkat naik.

"Di butik ini, kami menawarkan sehingga 30 jenama dari Malaysia dan Indonesia yang dijual pada harga serendah RM50 hingga mencecah RM800.

"Kami juga menawarkan koleksi pakaian pengantin yang cantik, unik dan berkualiti tinggi dengan harga bermula pada RM2,500," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik pelbagai fesyen ternama, Twenty2, di 22, Lorong Maarof, Bangsar Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Butik itu menawarkan pelbagai jenama pakaian eksklusif di bawah satu bumbung antaranya Azura Azwa, Cosry, Adila Long, Zuco, Aduh! by Adu dan Kamiidea.

Selain jenama pereka lain, Elia Izzati turut menampilkan koleksi fesyen rekaannya sendiri iaitu Dua, yang memberi fokus kepada abaya moden, eksklusif dan sesuai digayakan di majlis formal.

Biarpun ringkas, Dua lebih memberi perhatian kepada perincian dan jahitan menggunakan material sutera satin dan renda.

Butik yang baru dilancarkan pada 10 Januari lalu, Elia Izzati teruja apabila Twenty2, hasil gabungan ideanya bersama bapa tersayang, menerima sambutan amat menggalakan daripada pelanggan serta menjadi sebutan di media sosial sehingga mencapai lebih 40,000 pengikut di Instagram @shopat22 hanya selepas 12 hari dilancarkan.

Tidak hanya memberi fokus kepada fesyen wanita, butik itu turut menyediakan pakaian kanak-kanak dan juga bakal pengantin.

Tidak ketinggalan, dalam masa terdekat ini, Twenty2 juga akan memperkenalkan koleksi untuk lelaki menjadikannya gedung pusat sehenti untuk keluarga.

Demi memberikan yang terbaik kepada pelanggan, Elia Izzati berkata, Twenty2 juga menitikberatkan perkhidmatan yang diberikan dengan mengambil pekerja perkhidmatan pelanggan yang mempunyai kelulusan dalam bidang fesyen supaya dapat memberikan nasihat serta cadangan bernas kepada pelanggan untuk menggayakan fesyen bersesuaian.

"Sasaran kami untuk menarik lebih ramai pelanggan membeli produk eksklusif daripada pelbagai jenama pilihan mereka. Kami juga amat menekankan layanan mesra kepada setiap pelanggan secara peribadi," katanya.

Malah, butik berkenaan turut menjalani proses ubah suai intensif untuk menyuntik elemen kemewahan demi menyediakan suasana membeli-belah yang selesa kepada pelanggannya.

Twenty2 yang dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 7 malam, juga menyediakan pereka fesyen mereka sendiri daripada Button My Button untuk bakal pengantin yang mana pelanggan boleh mendapatkan khidmat nasihat rekaan terbaik untuk hari bahagia mereka.

Kolaborasi bapa dan anak ini amat serasi dan saling menyokong. Perkongsian idea fesyen pakaian mengikut tuntutan syariah selain Elia Izzati bertanggungjawab sepenuhnya menjaga kewangan Twenty2 dalam memastikan semuanya mengikut piawaian perakaunan.

Mengambil kesempatan ini dan mengikut gaya semasa terkini, Twenty2 mengambil langkah dengan mereka bentuk portal pembelian secara talian, www.shopat22.com, dengan aplikasi terkini yang mampu menandingi portal yang ada ketika ini.

Melalui portal yang bakal aktif pada 1 Februari ini, pelanggan dapat merealisasikan impian mereka membeli pakaian ke pejabat, kasual atau majlis formal dan perkahwinan.

Menurut Elia Izzati, Twenty2 menepati selera semua dan boleh digayakan sesiapa saja kerana butik itu menyediakan pakaian yang tidak mencolok mata tetapi tetap mengikut peredaran fesyen terkini, selesa dan sesuai dengan cuaca di negara ini.

Pada masa sama, butik eksklusif berkenaan turut menyediakan kafe Grind22 yang menyediakan minuman panas dan pemanis mulut supaya pelanggan dapat duduk berehat selepas penat berbelanja.

"Ia menyediakan kawasan parkir untuk pelanggan dan memperkenalkan aktiviti pasar jalanan setiap bulan dalam usaha membantu peniaga Bumiputera memasarkan produk mereka di Bangsar yang menjadi tumpuan ramai dengan memanfaatkan ruang sedia, selain menawarkan harga sewaan terendah.

"Twenty2 berhasrat membuka cawangan di kawasan padat penduduk Melayu bagi menawarkan pengalaman membeli-belah selesa dan santai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Twenty2, Zulhisyam Ayob, berkata visi utama butik berkenaan adalah menjalankan perniagaan menepati syariah dan menggunakan sebahagian keuntungan bagi mengerjakan program dakwah untuk mengembangkan ajaran Islam.

Ketika ini, empat anaknya sedang menuntut di sekolah tahfiz dan diharapkan bergelar ulama serta menggunakan keuntungan Twenty2 untuk program dakwah mereka kelak.

"Harapan saya supaya anak mampu mendapat didikan agama seterusnya berdakwah tanpa perlu mengharapkan bantuan kewangan pihak ketiga. Misi perniagaan sambil berdakwah ini diharapkan mendapat sambutan dan sokongan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:04 AM