STATUS pencapaian kutipan filem Paskal yang dimuat naik di Instagram filem berkenaan. FOTO Ihsan paskal_themovie
STATUS pencapaian kutipan filem Paskal yang dimuat naik di Instagram filem berkenaan. FOTO Ihsan paskal_themovie
Michelle Gun


FILEM Paskal yang mengetengahkan pengorbanan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat kutipan RM7.5 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Pengarah filem Paskal Adrian Teh ketika dihubungi meluahkan kegembiraannya terhadap pencapaian besar filem itu.

“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur. Terima kasih di atas sokongan ini,” katanya.

Sementara itu, Hairul Azreen yang membintangi watak utama menerusi akaun Instagram miliknya turut mengucapkan penghargaan kepada penyokong.

“Terima kasih kerana percayakan kami pelakon dan team @paskal_themovie,” tulisnya.

Turut berlakon dalam Paskal adalah Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Sebelum ini, Paskal memungut RM2 juta pada hari pertama tayangan pada 26 September lalu.

Penggambaran filem menelan bajet RM10 juta itu dilakukan di Lumut, Perak; Semporna, Sabah dan Maghribi.

Ia dijadualkan ditayang di China dan Turki pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 6:57 PM