MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (empat kanan) bergambar dengan barisan pelakon dan pengarah Paskal The Movie serta ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah sempena tayangan amal filem berkenaan di GSC Aman Central. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (empat kanan) bergambar dengan barisan pelakon dan pengarah Paskal The Movie serta ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah sempena tayangan amal filem berkenaan di GSC Aman Central. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


INSTITUT Pengurusan dan Intergriti Kedah (INSPIN) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) berjaya membuat kutipan RM10,000 hasil penganjuran Tayangan Amal Paskal The Movie di pawagam GSC, Aman Central, Alor Setar, malam tadi.

Tayangan amal itu bertujuan mengisi tabung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah bagi membantu ahli-ahlinya yang terdiri daripada bekas pejuang yang banyak berkorban untuk negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang hadir menyaksikan tayangan filem itu menyerahkan replika cek RM10,000 kepada wakil PVATAM Kedah iaitu Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail.

Turut hadir isteri Menteri Besar, Tok Puan Norzieta Zakaria, barisan pelakon Hairul Azreen, Ammar Alfian, Gambit Saifullah dan Hafizul Kamal serta Pengarah filem Paskal, Andrian Teh.

Paskal The Movie mengisahkan tentang Leftenan Komander Arman Anwar, seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia.

Ibunya tidak merestui pekerjaannya kerana ayahnya juga seorang ahli PASKAL yang telah terkorban semasa menjalankan tugas.

Filem aksi ini turut mengisahkan tentang sepasukan anggota unit elit berkenaan yang dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.

Seorang daripada rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti, bagaimanapun dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:45 AM