WAJAH terbaru (dari kanan) Izzu, Linda, Mimi dan Rina .
WAJAH terbaru (dari kanan) Izzu, Linda, Mimi dan Rina .
Rudy Imran Shamsudin

Ramai menyambut baik hasrat kumpulan Eva yang suatu ketika dulu popular dengan lagu Bulan Cinta bergabung kembali dan meneruskan perjuangan dalam industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, ia hanya membabitkan tiga anggota asalnya iaitu Izzu, Rina dan Linda, manakala Mimi mengambil keputusan untuk tidak aktif kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakan.

Namun, timbul cerita kurang enak apabila Linda secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk bergerak solo dengan menghasilkan single.

Peminat yang mengikuti perkembangan Eva beranggapan timbul perselisihan faham antara mereka menyebabkan Linda membuat keputusan untuk bergerak solo.

Lagipun, ramai beranggapan sebelum ini Linda adalah penyanyi utama kumpulan Eva walaupun Rina dan Izzu juga boleh menyanyi dengan baik.

Izzu ketika ditemui berkata, apabila mereka membuat keputusan untuk aktif kembali, tidak ada sebarang syarat yang dikenakan.

“Linda membuat keputusan untuk tampil solo bukan kerana berselisih faham dengan saya dan Rina, sebaliknya dia memang mahu mencuba nasib sebagai penyanyi solo.

“Jadi saya dan Rina membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan Eva berdua, tambahan pula tawaran persembahan untuk kami tidak pernah putus. Boleh dikatakan tiga kali dalam seminggu pasti ada tawaran menyanyi.

“Sayang kalau kami tidak teruskan perjuangan Eva sedangkan permintaan itu ada . Sebagai kawan kami menyokong keputusan yang dibuat anggota Eva yang lain,” katanya.

Menurut Izzu, walaupun Mimi dan Linda tidak lagi bersama mereka tetapi apabila ada tawaran menyanyi yang memerlukan anggota Eva bergabung, mereka bersedia untuk melakukannya.

“Sebelum ini pun kami berempat akan berkumpul apabila ada perkara penting membabitkan Eva. Itu sudah cukup membuktikan bahawa antara kami tidak pernah bermusuh.

“Lagipun kami percaya kepada konsep rezeki masing-masing sudah ditentukan. Apabila ada peluang untuk kami bersatu, tidak ada seorang pun anggota Eva keberatan untuk melakukannya,” katanya.

Menceritakan mengenai sambutan peminat terhadap Eva ketika ini, Rina berkata, dia sangat terharu apabila kebanyakannya masih ingat dengan lagu Bulan Cinta yang juga pernah bertanding di Anugerah Juara Lagu 1996.

“Dangdut tidak pernah mati, malah permintaan untuk kami mengadakan persembahan sangat banyak. Bayangkan untuk September saja pada 21, 23, 28, 29, 30 haribulan, jadual kami penuh dengan persembahan,” katanya.

Menurut Rina, dia terharu kerana mereka bukanlah kumpulan dangdut yang hebat ketika zaman mereka aktif 15 tahun lalu, namun hingga kini sambutan diberikan peminat sangat memberangsangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 9:21 AM