LINDA bersama Haziq.
LINDA bersama Haziq.
Norhayati Nordin

Seperti dugaan dalam kehidupan, perihal hubungan suami isteri untuk mempertahankan ikatan yang dibina juga ada pasang surutnya.

Meskipun sudah berbelas tahun malah berdekad hidup bersama, soal panjang jodoh hanya ditentukan Yang Maha Esa.

Itulah yang berlaku dalam rumah tangga penyanyi Linda Eva, 41, yang gagal diselamatkan biarpun sudah 20 tahun hidup bersama.

Sekitar September lalu, Linda sah bercerai dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Hasbullah.

Menurut Linda yang kini berstatus ibu tunggal empat anak, dia sudah berusaha menyelamatkan rumah tangganya.

“Sudah sebulan saya bercerai dan apa yang berlaku di antara kami biarlah rahsia kerana sudah menjadi kenangan lalu.

“Apa yang pasti, urusan perceraian kami berakhir secara baik selepas tidak wujud persefahaman dalam perhubungan.

“Saya reda dan menganggap jodoh kami hanya setakat ini. Bagi saya, Allah lebih mengetahui dan yakin ketentuan ini yang terbaik buat saya sekeluarga.

“Anak-anak pun di bawah jagaan saya dan sebagai ketua keluarga, saya perlu bangkit serta tabah meneruskan perjuangan untuk kehidupan kami,” katanya.

Ujar Linda yang juga ibu kepada vokalis kumpulan Putera Band, Haziq, dia bersyukur kini aktif menyanyi semula secara solo dan bersama kumpulan Eva.

Hasil perkongsian hidup Linda atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak bersama bekas suami, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haziq, 18, Afrina, 14, Syuhadah, 13, dan Aliya, 8.

Mengulas mengenai kumpulan Eva, Linda berkata dia bersama tiga lagi rakan iaitu Izzu, Rina dan Mimi masih saling berhubung.

“Hubungan kami masih baik seperti dulu cuma, masing-masing ada komitmen dengan keluarga. Apatah lagi, faktor usia.

“Apapun, minat kami pada nyanyian tidak pernah pudar dan ada kalanya bersatu jika perlu terbabit menjayakan persembahan bersama,” katanya.

Menurut Linda, kumpulan Eva belum terfikir untuk membawa haluan masing-masing kerana bergantung dengan tawaran persembahan yang mahukan mereka tampil bersama.

Kumpulan Eva yang juga perintis irama dangdut berkumpulan pada era 1990-an popular dengan lagu Bulan Cinta dan mereka pernah berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 11:00 AM