PERTEMUAN di bengkel kereta berakhir di jenjang pelamin.
PERTEMUAN di bengkel kereta berakhir di jenjang pelamin.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kisah percintaan anggota kumpulan dangdut Eva, Izzudiawaty Izzudin atau Izzu, 36, dengan Mohd Razif Ramli atau Geey, 30, bagai sebuah skrip drama.

Bermula sebagai pelanggan kepada Geey yang mengusahakan bengkel kereta, perhubungan itu seterusnya membuka hati Izzu yang sudah tiga tahun bergelar ibu tunggal bagi memilih Geey yang juga sudah empat tahun menduda sebagai suaminya.

Pasangan ini sah bergelar suami isteri Ahad lalu selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Bukit Antarabangsa Abdul Hakim Abdul Rahman di Masjid Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor.

Izzu berkata, jika keretanya rosak dia sering menghantarnya ke bengkel Geey di Setapak, Kuala Lumpur untuk dibaiki.

“Tiada terdetik langsung apa-apa perasaan ketika itu kerana kami masing-masing sudah mempunyai kekasih. Bagaimanapun, ditakdirkan selepas itu kereta saya mengalami masalah semula dan dihantar ke bengkel Geey.

“Ketika itulah kami selalu berjumpa dan kerap naik kereta bersama saya untuk kenal pasti kerosakan. Dari situ kami mula berbual dan rupa-rupanya dia sudah lapan bulan putus cinta.

“Kebetulan saya pun mengalami situasi sama dan bermula dari situlah kami berkongsi cerita. Dia yang memulakan semuanya dan saya dapat rasakan ada sesuatu,” katanya.

Menurut Izzu, pada 15 Januari lalu mereka sepakat menjalinkan hubungan secara serius dan tekad untuk berkahwin.

“Saya dapat tahu dia nak serius dengan saya apabila membawa berjumpa ibunya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Sikap ambil beratnya itu juga membuatkan saya boleh menerimanya,” katanya.

Dalam majlis itu, Izzu menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM15, 120.15 sebagai simbolik perhubungan mereka yang mula serius pada 15 Januari lalu.

Dalam pada itu, Izzu juga tidak menyangka ini jodohnya kerana sebelum ini dia membahasakan dirinya sebagai kakak kepada Geey.

“Bagaimanapun, saya menerimanya sebagai suami kerana kesungguhan dan kasih sayang yang ditunjukkan terhadap saya dan anak saya Izzy, 15, dan Izzya, 12,” katanya.

Geey juga mempunyai dua anak iaitu Mohd Radhi Danish, 9, dan Nurul Qirana Maisara, 6, hasil perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:25 PM