Amelina.
Amelina.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Sebaik dapat berita kematiannya, badan saya mengigil dan terbit perasaan menyesal," kata penyanyi bergelar Ratu Dangdut, Amelina meluahkan perasaannya terhadap pemergian komposer Ruslan Mamat malam tadi.

Amelina berkata, sebelum ini Ruslan ada menghantar lagu-lagu terbaru ciptaannya menerusi WhatsApp dan meminta dia mendengarnya.

"Dia minta saya dengar lagu-lagu itu dan bagi komen. Saya jawab akan dengar nanti dan akan menghubunginya. Saya amat sibuk dan dua hari lalu baru berpeluang tengok WhatsApp dia. Ketika itu terasa sangat rindu pada dia.

"Saya dengar lagu-lagu dia dan suruh anak lelaki dengar sama. Anak saya puji lagunya sedap. Saya tengok dia 'online' tapi rasa macam berat nak telefon kerana bimbang mengganggunya," katanya kepada Harian Metro.

Amelina yang dikenali dengan pelbagai lagu ciptaan Allahyarham antaranya Ah Rindu Lagi, Cinta Oh Cinta dan Asyik berkata, sebaik menerima berita kematiannya, dia sedih dan murung seketika.

"Saya tak dapat beritahu dia yang saya sukakan lagu ini. Bagaimanapun saya belum bercadang untuk merakamkan lagu ini kerana banyak perkara perlu diambil kira. Apabila arwah tiada, saya tak tahu cara untuk uruskannya. Soal rakaman dan royalti perlu sampai ke tempat yang betul. Saya juga tak selesa merakam lagu tanpa komposernya di sisi.

"Apapun saya tetap kenang jasanya yang amat besar terhadap saya. Dia ambil saya yang mulanya menyanyi untuk asah bakat di Radio Tiga Seremban yang kemudian dijadikan artis rakaman," katanya.

Penyanyi Haiza juga terkesan dengan pemergian Ruslan yang menaikkan namanya menerusi lagu Dag Dig Dug.

"Sifatnya kadang-kadang tegas tapi dia juga suka bergurau. Dalam pada itu, dia selalu beri nasihat pada saya dan kawan-kawan yang pernah bekerja dengannya yang dianggap seperti adik sendiri.

"Saya masih ingat saya jalani sesi uji bakat di B Sound Studio, Komtar Johor di bawah kendaliannya dan Allahyarham Man Toba. Saya dah selesai uji bakat dan fikir gagal serta dah nak balik. Dia panggil semula untuk rakam nyanyian satu lagu lagi iaitu Rindu. Itulah detik permulaan saya sebagai penyanyi," katanya yang bekerja di bawah terbitan Ruslan untuk lima album.

Sementara itu, anggota Eva, Izzu bersama Rina dan Mimi sempat melawat Ruslan di rumahnya baru-baru ini.

Izzu berkata, Allahyarham melahirkan perasaan terkilan kerana tidak berpeluang merasai hasil daripada lagu ciptaannya Sambutlah Kasih untuk kumpulan Lovehunters.

"Dia sedih kerana orang masukkan di YouTube dan dapat tontonan beratus-ratus ribu sedangkan dia tak dapat apa-apa. Dia tak mampu untuk halang sesiapa masukkan lagu itu di YouTube dan malas nak saman menyaman.

"Dia juga tanya kami kenapa tak menyanyikan lagu ciptaannya 1001 Cinta semasa minggu pertama Gegar Vaganza. Kami cakap kami ikut permintaan Astro yang mahukan kami menyanyi lagu Bulan Cinta," katanya.

Ruslan, komposer yang sinonim dengan lagu-lagu dangdut meninggal dunia pada usia 59 tahun malam tadi di Hospital Serdang akibat masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 4:54 PM