EVA. FOTO Arkib NSTP
EVA. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan dangdut Eva mengakui tidak ambil kisah dengan ramalan segelintir peminat yang meramalkan mereka bakal menjadi peserta pertama tersingkir pada program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang akan membuka pentas malam esok.

Eva yang dianggotai oleh Izzu, Linda, Rina dan Mimi pernah meniti populariti menerusi lagu Bulan Cinta pada pertengahan 1990-an. 

Izzu berkata, dia langsung tidak gentar dengan ramalan sebegitu sebaliknya mahu fokus dengan persembahan dalam GV.   

"Memang betul Eva dah lama tak muncul berempat. Ini 'comeback' kami selepas lebih 10 tahun tak tampil bersama.

"Boleh dikatakan kemunculan ini secara mengejut tapi bukan bermakna kami keluar dengan gaya, penampilan dan cara lama. Kami akan buat pendekatan yang boleh diterima oleh golongan peminat sekarang.

"Maksudnya, bukan peringkat umur kami sahaja, tapi nak tarik golongan peminat baru supaya kenal siapa kami dan untuk mereka 'search' siapa Eva 20 tahun lepas," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pembaharuan turut diperkenalkan dalam gerak tarian selain penggunaan media sosial untuk mendekatkan diri dengan peminat.

"Kami buat Tik Tok serta buat video  yang dikeluarkan di media sosial dalam usaha untuk mendekati peminat.

"Dari segi vokal, kami asah bakat semua anggota supaya menonjol dalam nyanyian. Walaupun menyanyikan lagu lama Eva malam esok, tapi ada pembaharuan.

"Kalau ada yang kata kami peserta pertama akan tersingkir, kami akan buat habis-habisan supaya dapat ke akhir. Itu matlamat kami," katanya.

Izzu berkata, mereka tidak akan mempersiakan peluang menyertai GV. 

"Kami mengikuti kelas latihan menari, vokal dan perunding imej sebagai pakej persembahan.

"GV menyediakan segala-galanya untuk mencantikkan kami serta 'upgrade' penampilan Eva," katanya yang bersyukur mereka mendapat sokongan daripada kelab peminat.

Sementara itu Linda pula meletakkan nasib mereka di tangan Datuk Ramli MS sebagai ketua juri dan bukannya peminat.

"Kami berempat masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Terserah pada Datuk Ramli untuk menilai kami.

"Apabila dapat peluang ini, matlamat kami ialah berjuang. Ada rezeki, kami pasti akan teruskan sehingga minggu-minggu seterusnya.

"Kami akan usaha fokus pada GV dan jika sekiranya tersingkir pun biarlah secara bermaruah tanpa sesuatu yang memalukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 2:32 PM