Noh Salleh lebih banyak jayakan misi kemanusiaan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Noh Salleh lebih banyak jayakan misi kemanusiaan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Michelle Gun


VOKALIS kumpulan Hujan, Noh Salleh, 33, kini lebih mengutamakan misi kemanusiaan yang disertainya berbanding karier nyanyian.

“Saya sudah mencapai apa yang mahukan dalam bidang seni dan sekarang susah tiba masa saya memberi balik kepada masyarakat.

“Walaupun mahu fokus sepenuhnya terhadap misi kemanusiaan, karier nyanyian tetap diteruskan kerana muzik memang sebati dengan jiwa,” katanya ditemui di Karnival Gegaria, Putrajaya, hari ini.

Noh hadir sebagai artis jemputan untuk berkongsi pembabitannya dalam misi kemanusiaan di zon #KitaPunya Lifestyle.

Suami kepada penyanyi Mizz Nina ini berkata, dia seronok melihat reaksi gembira rakyat Syria ketika menerima bantuan sewaktu menjalani misi di negara itu, Ramadan lalu.

“Dalam setiap misi disertai pelbagai pengalaman berharga saya timba.

“Saya bersyukur misi dilakukan mendapat sokongan kuat rakyat Malaysia dan juga stesen televisyen,” ujarnya.

Berkongsi pengalaman di Syria, Noh berkata kepanasan melampau suhu mencecah 43 darjah celsius menjadi cabaran besar.

“Cuaca terlampau panas sampai saya tidak tahan. Tetapi saya kagum melihat isteri yang ada sama tidak merungut,” katanya.

Misi seterusnya akan membawa Noh ke Lombok, Indonesia minggu depan diikuti Cox’s Bazar, Bangladesh dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 7:34 PM