BUNKFACE  dianggotai Sam (tengah), Paan (kiri) dan Youk. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
BUNKFACE dianggotai Sam (tengah), Paan (kiri) dan Youk. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri

Ogos sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan dan untuk tahun ini, tentunya mempunyai pelbagai perancangan khas disediakan untuk masyarakat.

Selebriti juga tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara menerusi karya seni mereka.

Bagi band rock popular Bunkface, sambutan Hari Kebangsaan ke-61 tahun ini tentunya mencatat sejarah tersendiri apabila lagu mereka, Kita Punya Malaysia diangkat sebagai lagu tema.

Sam selaku penyanyi berkata, mereka menganggap ia sebagai pencapaian baru dalam kerjaya seni Bunkface.

“Ini kali pertama kami diberikan peluang untuk menjadi sebahagian dalam kempen bulan kemerdekaan.

“Lebih berbesar hati, lagu yang kami ciptakan khas untuk kempen ini yang diberi judul Kita Punya Malaysia diangkat sebagai lagu tema sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.

Selain Sam, Bunkface turut dianggotai Youk (bass) dan Paan (gitar).

Selain itu, Bunkface turut menjalani penggambaran klip video lagu berkenaan di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, semalam.

“Konsepnya adalah seperti eksperimen sosial. Kami adakan sedikit permainan ringkas membabitkan mereka yang berada di sekitar kawasan itu.

“Kemudian, kami buat persembahan secara langsung dan rakamkan untuk dijadikan video muzik,” katanya.

Menurutnya, konsep itu digunakan untuk melihat sendiri penyatuan budaya dan masyarakat negara kita.

“Secara tak langsung, kita dapat satukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama menerusi penghasilan video muzik Kita Punya Malaysia.

“Itu adalah objektif utama kami untuk disesuaikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dan lagu ini sebagai lagu tema,” katanya.

Bercerita mengenai lagu itu, Youk berkata, ia sudah dihasilkan sejak tiga bulan lalu.

“Pada peringkat awal, ia dihasilkan untuk satu projek lain tetapi projek itu dibatalkan. Jadi, kami tukar beberapa bahagian lirik dan jadikan ia lagu yang sesuai untuk kemerdekaan dan kempen Kita Punya yang menjadikan kami sebagai duta,” katanya.

Paan pula memberitahu lagu itu disuntik dengan elemen yang menjadi objektif utama Bunkface.

“Objektif utama kami adalah untuk menyebarkan mesej positif kepada generasi baru. Lagu kami yang sebelum ini pun kebanyakannya memang menyuntik semangat.

“Kali ini ia berbeza dari segi liriknya kerana ia berteraskan semangat patriotisme kepada negara,” katanya.

 LAGU Kita Punya Malaysia menjadi  lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini dianggap satu pencapaian baru dalam kerjaya seni Bunkface. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
LAGU Kita Punya Malaysia menjadi lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini dianggap satu pencapaian baru dalam kerjaya seni Bunkface. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Jadi duta Kita Punya

Untuk menarik minat generasi muda untuk terus cintakan negara, Bunkface juga diangkat menjadi duta kempen Kita Punya anjuran Media Prima Berhad dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Sam berkata, Bunkface akan terbabit dalam kempen ini sepanjang ia berlangsung dan mereka akan terus memberikan mesej positif terutama kepada golongan muda.

“Generasi baru ada cara tersendiri untuk mengekspresikan semangat cintakan negara. Jadi, kami akan bersama-sama mereka untuk mengekalkan semangat patriotisme ini,” katanya.

Kempen Kita Punya yang menggunakan tanda pagar #KitaPunya dan #SayangiMalaysiaku mempunyai lima pecahan utama.

Kelima-lima pecahan itu adalah #kitapunyacerita, #kitapunyasuara, #kitapunyagemilang, #kitapunyastail dan #kitapunyaimpian dan setiap pecahan itu punya objektif dan sasaran tersendiri.

Kempen Kita Punya yang bermula 1 Ogos lalu hingga 16 September depan turut memberi peluang kepada masyarakat menyertai peraduan yang diadakan secara dalam talian di media sosial.

Mereka yang ingin turut serta perlu mengambil gambar yang menunjukkan semangat cintakan negara, gunakan kapsyen menarik yang disertakan dengan tanda pagar #KitaPunya dan #SayangiMalaysiaku sebelum tarikh tutup pada 9 September 2018.

Selain Bunkface, antara selebriti lain yang terbabit dalam kempen ini ialah Noh Salleh, kartunis Ujang dan pelakon Sangeetha.

#KitaPunya #SayangiMalaysiaku

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 9:34 AM