BUNKFACE. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
BUNKFACE. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri

Sedar tak sedar, tahun ini usia band popular Bunkface sudah menginjak 12 tahun.

Tahun ini, Bunkface yang dianggotai Sam (penyanyi, gitar), Youk (bass) dan Paan (gitar) ada sesuatu yang berbeza untuk diberikan kepada peminat mereka.

Bersempena bulan kemerdekaan tahun ini, Bunkface diberi peluang sebagai duta untuk kempen Kita Punya anjuran Media Prima Berhad serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Ini kali pertama kami diberi peluang menjadi sebahagian dalam kempen sempena bulan kemerdekaan.

“Lebih menarik, lagu yang kami cipta khas untuk kempen ini berjudul Kita Punya Malaysia diangkat sebagai lagu tema kemerdekaan 2018,” kata Sam.

Menurut Sam, ia pencapaian besar buat mereka sepanjang perjalanan karier sebagai pemuzik.

“Ini menjadi satu lagi penanda aras untuk kerjaya seni kami. Sebagai pemuzik, kami berbangga dengan pencapaian itu dan bersyukur dengan peluang yang diberikan,” katanya.

Kempen Kita Punya yang menggunakan tanda pagar #KitaPunya dan #SayangiMalaysiaku mempunyai lima pecahan utama iaitu #kitapunyacerita, #kitapunyasuara, #kitapunyagemilang, #kitapunyastail dan #kitapunyaimpian dan setiap pecahan itu punya objektif dan sasaran tersendiri.

Ia yang bermula semalam hingga 16 September ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menyertai peraduan yang diadakan secara online di media sosial.

Mereka yang ingin turut serta perlu mengambil gambar yang menunjukkan semangat cintakan negara, gunakan kapsyen menarik disertakan tanda pagar #KitaPunya dan #Saya–ngiMalaysiaku sebelum tarikh tutup pada 9 September ini.

Selain Bunkface, antara selebriti lain yang terbabit dalam kempen Kita Punya ialah Noh Salleh, kartunis Ujang dan pelakon Sangeetha.

Bercerita mengenai lagu Kita Punya Malaysia, Youk berkata, ia sudah dihasilkan sejak tiga bulan lalu.

“Asalnya ia dihasilkan untuk satu projek lain, namun projek itu dibatalkan. Jadi, kami tukar beberapa bahagian lirik dan jadikan ia lagu yang sesuai untuk kemerdekaan.

“Insya-Allah, ia akan dilancarkan pada 4 Ogos ini sempena pelancaran Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Pulau Pinang,” katanya.

Paan pula memberitahu lagu itu disuntik dengan elemen yang menjadi objektif utama Bunkface.

“Objektif utama kami adalah untuk menyebarkan mesej positif kepada generasi baru. Lagu kami yang sebelum ini pun kebanyakannya memang menyuntik semangat.

“Kali ini, ia berbeza dari segi lirik kerana ia berteraskan semangat patriotisme,” katanya.

Bagaimanapun, mereka masih mengekalkan identiti Bunkface seperti yang pernah mereka bawakan sebelum ini.

“Muziknya masih akan ada identiti kami. Kalau vokalnya masih menggunakan suara Sam, itu pun sudah cukup untuk menjadi identiti Bunkface,” kata Sam pula.

Terbaru, Bunkface hadir dengan single berjudul Apa Pun Tak Boleh (APTB) yang dilancarkan pada 9 Mei lalu.

Selain itu, mereka juga akan muncul dengan single berbahasa Inggeris selepas beberapa tahun tidak menghasilkan lagu dalam bahasa itu. #KitaPunya #SayangiMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 9:05 AM