ANGGOTA muat naik kenyataan peribadi di Twitter luahkan kesedihan.
ANGGOTA muat naik kenyataan peribadi di Twitter luahkan kesedihan.
Georgie Joseph


Selepas mengumumkan mereka bakal berpecah buat sementara waktu pada Mac lalu, kumpulan Fifth Harmony akhirnya mengucapkan selamat tinggal, baru-baru ini.

Anggotanya Ally Brooke, Normani, Dinah Jane dan Lauren meninggalkan mesej sedih di Twitter.

“Kami tidak minta apa-apa selain persembahan terakhir yang terbaik. Terima kasih buat semua yang hadir malam ini.

“Kami sayang kamu Florida! Kalian akan sentiasa tersemat di hati kami,” tulis kumpulan itu di akaun rasmi Twitter mereka.

Kenyataan itu dibuat sejurus mereka selesai menjayakan persembahan di Hard Rock Live, The Event Center Hollywood, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, mereka sempat mengabadikan foto bersama sebelum memulakan persembahan itu.

Mereka turut memuat naik kenyataan peribadi di Twitter dengan meluahkan kesedihan di atas perpisahan itu.

“Selalu dan selamanya. Saya sayang kamu lebih daripada yang kamu tahu. Terima kasih Tuhan untuk itu,” kata Normani.

Selepas persembahan itu, Lauren turut tampil dengan kenyataan menyentuh hati mengenai rasa syukurnya menjadi sebahagian daripada Fifth Harmony.

“Mengimbas semula perjalanan kami selama enam tahun sejak menyertai X-Factor, sudah jauh kami bergerak dan semestinya menghargai setiap perkara buat selama-lamanya.

“Kami menempuh satu perjalanan yang sangat bermakna dan tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan rasa syukur terhadap sokongan kalian.

“Selepas enam tahun mengerah keringat tanpa henti, kami perlu akur dengan hakikat yang kami perlu berehat. Ia sangat penting untuk kami meneruskan karier solo masing-masing,” katanya.

Fifth Harmony mengejutkan peminat mereka apabila mengumumkan bakal membawa haluan masing-masing pada 19 Mac lalu.

Semestinya ia satu berita duka apatah lagi mereka antara kumpulan wanita paling berpengaruh beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, sejak Camila Cabello mengundurkan diri daripada kumpulan itu pada 18 Disember 2016, populariti Fifth Harmony mula merudum.

Kumpulan itu mula mencipta fenomena selepas menyertai program realiti The X-Factor AS musim kedua pada 2012. Kumpulan itu sangat popular malah lagu yang didendangkan menjadi kegilaan di seluruh dunia.

Antara lagu popular kumpulan itu termasuk Worth It, Work From Home, Miss Moviní On, Thatís My Girl dan Sledgehammer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 4:49 AM