BERJANJI mahu ke Malaysia lagi.
BERJANJI mahu ke Malaysia lagi.
Georgie Joseph


Kira-kira lima tahun lalu, empat gadis yang menganggotai Fifth Harmony tidak menyangka akan meraih kejayaan seperti dikecapi hari ini. Dilahirkan menerusi program realiti The X-Factor Amerika Syarikat (AS), ramai menjangkakan mereka akan menempuh laluan sukar.

Bagaimanapun, kumpulan yang mulanya mempunyai lima anggota iaitu Ally Brooke, Normani Kordei, Dinah Jane, Lauren Jauregui dan Camila Cabello itu membuktikan sebaliknya.

Meskipun tahun lalu Camila mengambil keputusan berundur, kedudukan Fifth Harmony sedikit pun tidak tergugat. IKemunculan ramai artis solo memberikan kelebihan kepada kumpulan itu apatah lagi jarang penyanyi berkumpulan wanita mampu melakar kejayaan hebat pada masa sekarang.

Fifth Harmony diterima baik seantero dunia, malah ketika menjayakan konsert jelajah The 7/27 Tour Live in Malaysia 2017 baru-baru ini, ia mendapat sambutan luar biasa.

Berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Bandar Sunway, peminat yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Baik anak kecil mahupun ibu bapa, semua terhibur dengan persembahan kumpulan yang popular dengan lagu Work From Home itu.

Meskipun masih ‘hijau’, kemampuan Fifth Harmony sehebat artis ternama lain. Bukan sahaja aura malah penguasaan pentas mereka cukup mengagumkan.

Sebaik muncul di pentas jam 8.30 malam, lokasi konsert itu bergema dengan jeritan lebih 10,000 penonton. Tampil anggun dan seksi dalam persalinan merah, mereka mempamerkan kehebatan vokal dan gerak tari.

Itulah ‘senjata’ ampuh kumpulan terbabit yang mampu menakluk hati jutaan peminat. Bahkan sejak ketika bertanding di The X-Factor AS lagi, Fifth Harmony dilambung pujian berikutan keharmonian vokal yang mengagumkan.

Lebih menarik, kumpulan itu tampak semakin matang dan lebih feminin. Tiada lagi aksi keanak-anakkan seperti awal kemunculan dahulu sebaliknya tampil dengan lenggok tari yang anggun dan seksi.

Sepanjang konsert berlangsung mereka tampak cukup bertenaga dan lincah. Apa yang pasti mereka mahu meninggalkan kenangan indah buat peminat di negara ini.

“Kami sangat gembira dapat berjumpa peminat di sini. Sokongan tidak bertepi kalian memberikan kami peluang untuk sampai ke tahap sekarang.

“Tanpa kalian, tidak mungkin kami dapat menjejakkan kaki ke Malaysia,” kata Lauren.

Terharu dan teruja dengan sorakan tanpa henti penonton malam itu, Fifth Harmony berjanji mahu kembali semula ke negara ini.

“Ini bukan kali pertama dan terakhir kami ke sini. Kami janji akan kembali dengan konsert lebih hebat pada masa akan datang,” kata Lauren.

Pada malam itu, Fifth Harmony menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu hit mereka termasuk That’s My Girl, Miss Movin’ On, Sledgehammer, Reflection, This Is How We Roll, Scared of Happy, I Lied, Write On Me dan No Way.

Tidak ketinggalan We Know, Squeeze, Boss, Not That Kinda Girl, All in My Head, Brave, Honest, Beautiful, Gonna Get Better, Worth It dan Work From Home.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 1:46 AM